Tiada arahan rasmi iring anak ahli Parlimen

Mohd Suhaily
Mohd Suhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada arahan rasmi mahupun tidak rasmi dikeluarkan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di peringkat Kontinjen Pulau Pinang bagi penugasan mengiringi anak seorang ahli Parlimen seperti video tular baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan trafik Nombor 11 (Prosedur atur gerak dan membuka laluan trafik), proses kelulusan permohonan secara rasmi kepada jabatan perlu dilakukan dalam masa tujuh hari waktu bekerja kecuali kecemasan.

Menurutnya, pegawai yang bertanggungjawab perlu membuat penilaian permohonan itu bagi membuat keputusan sebelum rekod kelulusan permohonan dicatat dalam buku daftar dan buku perharian.

“Hasil daripada siasatan dalaman yang dibuat, didapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi dikeluarkan pucuk pimpinan PDRM di peringkat Kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi individu berkenaan pada hari itu.

“PDRM memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia tugasan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, lelaki berusia 20-an yang terbabit dalam video berkenaan juga sudah dihubungi bagi memberi kenyataan.

Beliau berkata, individu berkenaan perlu tampil memberi keterangan lanjut kerana perbuatannya jelas boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) atau ada elemen bagi menjatuhkan maruah PDRM atau sebaliknya.

“Individu itu sudah dihubungi dan dia akan beri kerjasama yang sebaiknya.

“Selain itu, kedua-dua anggota trafik yang terbabit mengiringi orang awam itu kini ditempatkan di bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertibterhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial itu sejak Sabtu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki orang awam.