Didakwa iring kenderaan anak ahli Parlimen, dua polis trafik disiasat

Klip video mengenai kejadian dua anggota trafik mengiringi sebuah kenderaan awam yang tular di media sosial.
Klip video mengenai kejadian dua anggota trafik mengiringi sebuah kenderaan awam yang tular di media sosial.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial itu sejak Sabtu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian tersebut memang berlaku dan siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua-dua anggota polis trafik berkenaan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan.

"Satu kertas siasatan tatatertib terhadap kedua-dua anggota tersebut akan dibuka bagi menyiasat perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd Shuhaily berkata, satu rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial pada jam 8.36 malam yang dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez.

''Rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh anggota trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir di sini.

''Pihak PDRM Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku,'' katanya.

Menerusi klip video berkenaan, kedua-dua anggota polis tersebut sedang mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.