Restoran nasi kandar kena serbu

Orang ramai sanggup beratur panjang demi mendapatkan nasi kandar kegemaran mereka. (Gambar kecil dari kiri: Puteri Aishah, Sheik Shahril dan Fadzilah.
Orang ramai sanggup beratur panjang demi mendapatkan nasi kandar kegemaran mereka. (Gambar kecil dari kiri: Puteri Aishah, Sheik Shahril dan Fadzilah.
A
A
A

GEORGETOWN - Kebanyakan restoran nasi kandar diserbu peminatnya yang mengambil peluang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri untuk merasai kenikmatan makanan popular itu ketika berada di Pulau Pinang.

Tinjauan mendapati, semua restoran nasi kandar popular dipenuhi pelanggan yang sanggup beratur panjang walaupun di bawah cuaca panas, semata-mata untuk mendapatkan makanan kegemaran mereka.

Antara restoran nasi kandar popular menjadi tumpuan ialah Nasi Kandar Mohamed Rafee di Pulau Tikus dan Nasi Kandar Deen Maju di Jalan Gudwara dan Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell.

Seorang guru, Fadzilah Abdul Mois, 32, berkata, dia ke negeri ini adalah untuk menghabiskan cuti sempena hari raya dan mengambil kesempatan untuk menikmati nasi kandar tulen yang sememangnya lazat.

"Saya ke sini untuk menghabiskan cuti bersama kakak. Dalam masa sama, inilah masanya untuk kami menikmati nasi kandar 'original' yang hanya boleh didapati di Pulau Pinang.

"Saya sanggup beratur panjang semata-mata untuk menikmati nasi kandar. Sebelum pulang ke Ipoh, Perak, kami datang 'tapau' nasi kandar dahulu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Sementara itu, pekerja swasta, Sheik Shahril Reza Baharom, 48, berkata, dia dan anaknya, Puteri Aishah Dania, 17, sanggup meredah kesesakkan lalu lintas dari Batu Feringghi selama satu jam semata-mata untuk membeli nasi kandar.

Dia yang datang ke Pulau Pinang untuk beraya di kampung isterinya di Datuk Keramat berkata, dia sanggup beratur panjang untuk membeli nasi kandar kegemarannya.

"Nasi Kandar Mohamed Rafee adalah makanan wajib untuk kami sekeluarga jika balik Pulau Pinang. Sejak 15 tahun lalu, nasi kandar ini saja yang kami sekeluarga gemar. Nasi kandar lain 'tak boleh lawan'.

Kesempatan pulang ke kampung digunakan oleh orang ramai untuk membeli nasi kandar di Pulau Pinang walaupun terpaksa beratur panjang.
Kesempatan pulang ke kampung digunakan oleh orang ramai untuk membeli nasi kandar di Pulau Pinang walaupun terpaksa beratur panjang.

"Walaupun perlu menunggu sehingga setengah jam, saya sanggup. Esok (Sabtu) kami dah nak pulang ke Subang, jadi sebelum pulang, nasi kandar adalah perkara 'wajib'," katanya.

Pekerja bank, Abdul Majid Wahid, 40-an berkata, dia dan keluarga sanggup singgah ke Pulau Pinang dari Kedah sebelum pulang ke ibu kota semata-mata untuk menikmati nasi kandar kegemarannya, Restoran Nasi Kandar Yusuf yang terletak di Relau.

"Keistimewaan nasi kandar ini adalah ayam bawang dan ayam masak merahnya. Keluarga saya mesti makan dahulu sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

"Sempena hari raya ini, alang-alang pulang ke kampung di Kedah, kami singgah sekejap untuk makan. Walaupun perlu beratur panjang, itu bukan satu masalah buat kami," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pusat bandar mendapati, kenderaan membanjiri semua jalan utama serta kawasan tumpuan seperti Jalan Penang, Komtar dan Jalan Scotland iaitu menghala ke Batu Feringghi.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangka jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju ke kawasan utara meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain itu, pihak polis juga menjangka kira-kira satu juta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang.