KPT arah universiti awam tambah baik fasiliti

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengadakan lawatan ke rumah keluarga pelajar Universiti Sains Malaysia, Lukman Hakim Mat Rani, 22 yang meninggal dunia pada 25 April lalu selepas terjatuh dari tingkat lapan Desa Siswa Tekun, George Town, Pulau Pinang.⁣ Foto Bernama
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengadakan lawatan ke rumah keluarga pelajar Universiti Sains Malaysia, Lukman Hakim Mat Rani, 22 yang meninggal dunia pada 25 April lalu selepas terjatuh dari tingkat lapan Desa Siswa Tekun, George Town, Pulau Pinang.⁣ Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua universiti awam di negara ini supaya menilai semula aspek keselamatan fasiliti masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kajian menyeluruh termasuk menambah baik struktur bangunan perlu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang seperti yang menimpa seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

"Melalui kajian ini, USM akan melakukan penambahbaikan dalam aspek keselamatan termasuk memantau projek-projek yang melibatkan fizikal bangunan supaya lebih selamat diduduki dan mesra pengguna termasuk bagi mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Lukman Hakim Mat Rani, 22, di Kampung Panambang di sini hari ini.

Lukman Hakim merupakan mahasiswa USM yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lapan Desasiswa Tekun, USM Kampus Induk pada 25 April lepas, dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil pakaiannya yang terjatuh dari ampaian.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPT Dr Mohd Zabri Yusoff, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Terdahulu Noraini turut menyampaikan Skim Perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi pengecualian pembayaran balik pinjaman pendidikan Allahyarham.

Menurut Noraini, sebagai manfaat tambahan, Allahyarham juga layak menerima manfaat khairat kematian sebanyak RM1,500.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Wan Rubiah Wan Abdullah, 50, berkata anak kelima daripada lapan beradik tersebut aktif di universiti dan sangat berminat untuk menjadi guru sejarah.

"Baju yang terjatuh itu adalah baju kesayangan yang arwah sering pakai dan ketika kejadian, arwah bersendirian manakala rakan sebiliknya solat Maghrib.

"Arwah meminta saya beli baju (raya) berwarna hijau dan saya sudah beli di pasar, malah tiket bas untuk balik kampung bagi berhari raya juga sudah dibeli,” katanya. - Bernama