Sila log masuk terlebih dahulu.

Pelajar USM maut terjatuh ketika mahu ambil pakaian

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian seorang pelajar lelaki Universiti Sains Malaysia (USM) ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan Desasiswa Tekun dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut , Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan berusia 22 tahun itu dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil pakaiannya yang terjatuh daripada ampaian.

"Menurut keterangan rakan-rakan mangsa, pelajar itu pada mulanya memanjat tembok koridor di tingkat lapan itu untuk mengambil pakaiannya yang terjatuh dari ampaian di kawasan bahagian luar koridor iaitu terdapat ruang kira-kira dua kaki persegi di situ (ruang simen) sebelum mangsa terjatuh ke bawah.

"Mereka (rakan-rakan mangsa) hanya menyedari mangsa terjatuh selepas dia tidak masuk ke bilik semula sebelum bertindak mencarinya dan menemui mayatnya di kawasan bawah bangunan asrama tersebut kira-kira pukul 10.30 malam sebelum memaklumkan kepada pengurusan universiti serta menghubungi polis," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau juga menafikan mangsa membunuh diri sebaliknya ia adalah kemalangan dan kejadian itu disiasat sebagai mati mengejut.

Terdahulu tular di media sosial berhubung kejadian seorang pelajar USM ditemukan mati dipercayai terjatuh daripada bangunan asrama di situ.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) USM Prof Dr Md Roslan Hashim berkata USM telah melantik sebuah pasukan kerja untuk memeriksa fasiliti pelajar terutama di desa siswa bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Katanya pasukan itu sedang meneliti semua aspek yang perlu dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak kejadian yang sama berulang.

Artikel Berkaitan:

"Pihak universiti juga menasihatkan semua pelajar agar lebih berhati-hati untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang," katanya dan menambah USM dari semasa ke semasa akan terus memantau keselamatan pelajar dari semua aspek yang berkaitan menerusi pengurusan desa siswa dan majlis penghuni desa siswa. - Bernama