[VIDEO] Aliff Syukri minta maaf isu video muzik raya

Aliff Syukri ditemui pemberita selepas hampir lima jam meluangkan masa untuk memberi keterangan dan merakamkan percakapan di ibu pejabat MCMC.
Aliff Syukri ditemui pemberita selepas hampir lima jam meluangkan masa untuk memberi keterangan dan merakamkan percakapan di ibu pejabat MCMC.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] "Saya minta maaf kepada sesiapa yang tersinggung, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat saya" ujar usahawan kontroversi Datuk Seri Aliff Syukri.

Aliff berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hampir lima jam meluangkan masa untuk memberi keterangan dan merakamkan percakapan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia berhubung video muzik kontroversi yang menampilkan penari lelaki lembut dan bersolek seperti wanita.

Beliau turut memohon seluruh warga Malaysia agar tidak mengheret ahli keluarganya di dalam kancah kontroversi tersebut.

"Mohon ye jangan libatkan isteri terutamanya mak saya yang ketika ini sedang menunaikan umrah" katanya.

Ketika ditanya adakah beliau memikirkan kesan sebelum menerbitkan video muzik tersebut, Aliff memilih untuk berdiam diri.

Diasak soalan sekiranya SKKM melakukan pendakwaan terhadapnya, Aliff Syukri berkata, beliau sudah memberi kerjasama kepada agensi itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-Kom) Tan Sri Annuar Musa pada Isnin berkata, individu terlibat di dalam video muzik berkenaan telah diberi notis untuk hadir ke SKMM.

Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dibuka.

Sebelum ini, video muzik yang dikeluarkan sempena Aidilfitri itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak. Aliff Syukri secara konsisten dilihat mengenengahkan individu transgender atau bertemakan lelaki lembut yang di koreograf sedemikian rupa.

Pada tahun 2018, beliau tampil dengan video Bobo Dimana bersama dua orang transgender dengan pakaian yang seksi.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyifatkan usahawan tersebut seolah-olah mempromosikan gaya hidup songsang di dalam video muzik berkenaan.