Denda RM20,000 miliki, jual produk tidak diperakui MCMC

Chen Kaiyi dan syarikatnya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa kerana memiliki serta menjual pemain media tanpa wayar yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Chen Kaiyi dan syarikatnya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa kerana memiliki serta menjual pemain media tanpa wayar yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
A
A
A

PETALING JAYA - Padah memiliki dan menjual pemain media tanpa wayar tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bermula dua tahun lalu, sebuah syarikat menjual peralatan komunikasi serta pengarahnya didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Syarikat LC Marketing Network Media Sdn Bhd dan pengarahnya, seorang warga China, Chen Kaiyi, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengekalkan pengakuan bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua OKS dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda tersebut selain mengarahkan kesemua barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilucut hak kepada MCMC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Selasa untuk fakta kes dan jatuh selepas syarikat itu dan Chen Kaiyi mengaku bersalah atas empat pertuduhan tersebut di mahkamah sama, pada 4 April lalu.

Mengikut kesemua pertuduhan, LC Marketing Network dan Chen didakwa memiliki, menjual dua unit pemain media tanpa wayar jenama TX3 model TX3 mini-L serta TX6 model TX6-H yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) dan 16(3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

OKS didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di KS-01, Digital Mall, Seksyen 14 di sini, pada jam 12.57 tengah hari, 26 Jun 2020 dan jam 11 pagi, 14 Mei 2021.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai telah membuat pemeriksaan ke atas peralatan komunikasi itu dan mendapati ia tidak diperakui oleh SIRIM selain hasil siasatan mendapati bahawa peralatan komunikasi tersebut juga tidak diperakui MCMC atau mana-mana agensi pemerakuan berdaftar yang lain.

Semasa prosiding, OKS diwakili peguam Jay Moy Wei Juin merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dan menyatakan telah menghantar representasi kepada pihak pendakwaan.

"OKS mengekalkan pengakuan selepas didakwa April lalu, selain mengakui fakta kes yang dibaca terhadapnya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa dari SKMM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim mengesahkan ada menerima represtasi tersebut dan menyerahkan budi bicara mahkamah untuk menjatuhi hukuman.

"Pendakwaan memohon satu perintah lucut hak barang-barang kes kepada MCMC sebagaimana yang diperuntukkan bawah undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!