Projek KLIP: Nelayan rayu percepatkan agihan pampasan

Mazelan (tiga dari kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah PNKMB menunjukkan surat LBSB mengenai pampasan RM5.4 juta untuk nelayan di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka.
Mazelan (tiga dari kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah PNKMB menunjukkan surat LBSB mengenai pampasan RM5.4 juta untuk nelayan di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak RM5.4 juta nilai pampasan diberikan kepada nelayan terlibat selepas projek mega Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Biarpun projek mega itu dijangka bermula selepas perayaan ini, namun hakikatnya wang pampasan yang diberikan pemaju melalui kerajaan negeri belum dapat dinikmati mereka yang akan terkesan dengan projek terbabit.

Wartawan Sinar Harian, Norfarhana Yaacob menelusuri luahan nelayan terlibat yang mahukan agihan wang pampasan itu diserahkan segera.

Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) merayu kerajaan negeri mempertimbangkan serta mempercepatkan pemberian pampasan sebanyak RM5.4 juta kepada nelayan yang terkesan dengan projek mega KLIP sebelum Syawal tiba.

Pengerusinya, Mazelan Bakar berkata, kira-kira 265 ahli persatuan itu layak menerima bayaran pampasan selepas pendapatan terjejas dan berkurangan setelah wujudnya projek berkenaan.

Menurutnya, tuntutan itu juga berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi sekali gus membolehkan nelayan membuat persiapan terutama sewaktu musim Monsun Barat Daya yang menyebabkan mereka tidak boleh ke laut.

“Pampasan berkenaan sudah disalurkan oleh pemaju projek KLIP bernilai kira-kira RM15 bilion kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada ahli PNKMB, hujung tahun lalu.

“Kami sudah menerima surat daripada pemaju KLIP iaitu Linggi Base Sdn Bhd (LBSB) bertarikh 14 Oktober 2021 yang memaklumkan syarikat itu sudah menyalurkan RM5.4 juta pampasan untuk nelayan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini.

Mazelan berkata, pihaknya juga telah mengutus surat kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamad pada Oktober tahun lalu, selain bertemu Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman pada Januari lepas, bagi menuntut pampasan yang dinyatakan.

“Sehingga kini, masih belum ada jawapan, jadi kita berharap supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meneliti rayuan nelayan kerana pampasan itu seharusnya diagihkan kepada ahli PNKMB tanpa membabitkan nelayan ahli PNK Melaka Selatan dan PNK Jasin.

“Hanya nelayan di perairan Melaka Barat dari Kuala Linggi hingga Tanjung Bidara terjejas dengan projek itu,” katanya. Jelasnya, agihan pampasan berkenaan juga akan diberikan kepada nelayan sungai di Paya Lebar yang menjadi ahli PNKMB.

“Sejak LBSB mengumumkan pampasan itu tahun lalu, kebanyakan ahli PNKMB tidak putus-putus mendesak agar ALP persatuan segera menuntutnya daripada kerajaan negeri,” katanya.

KLIP bukan untuk memenuhi permintaan pelabuhan kapal dagang, sebaliknya hub antarabangsa industri minyak dan gas bersepadu, perkhidmatan pelabuhan dan perkapalan serta industri maritim yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan Malaysia. - Foto Bernama
KLIP bukan untuk memenuhi permintaan pelabuhan kapal dagang, sebaliknya hub antarabangsa industri minyak dan gas bersepadu, perkhidmatan pelabuhan dan perkapalan serta industri maritim yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan Malaysia. - Foto Bernama

Perbelanjaan

Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 52, berkata, dia begitu mengharapkan wang pampasan itu bagi menampung perbelanjaannya sekeluarga.

“Lagipun kami nelayan tak ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Orang lain boleh keluarkan duit untuk sambut raya tapi nasib kami masih tidak diketahui,” katanya. Mazli Abd Ghani, 67, yang mewakili pengerusi dan persatuan itu juga mendesak kerajaan negeri segera memberikan wang pampasan kepada nelayan terlibat.

“Kebanyakan nelayan di sini golongan B40 dan berharap disegerakan bagi membuat persiapan raya,” katanya.

Untuk rekod, fasa pertama KLIP membabitkan kerja menambak laut bagi membina pulau seluas 248 hektar yang 500 jaraknya meter dari tanah besar.

Seterusnya kerja pembinaan fasiliti tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk himpitan kapal akan memerlukan 115,000 tenaga kerja.

Projek berkenaan dijangka siap dalam antara lima hingga lapan tahun yang mana KLIP menyediakan peluang pekerjaan kepada 6,000 tenaga kerja dengan 60 peratus tenaga mahir, 30 peratus kejuruteraan teknikal dan 10 peratus pengurusan.

KLIP bukan untuk memenuhi permintaan pelabuhan kapal dagang, sebaliknya hub antarabangsa industri minyak dan gas bersepadu, perkhidmatan pelabuhan dan perkapalan serta industri maritim yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan Malaysia.