Suami isteri hitung hari keluar rumah sewa

Umar dan Rosidah menghitung hari untuk keluar dari rumah sewanya.
Umar dan Rosidah menghitung hari untuk keluar dari rumah sewanya.
A
A
A

SEREMBAN - Ketika masyarakat Islam lain sudah mula membuat persiapan menyambut hari raya Aidilfitri, sepasang suami isteri di Taman Sri Pinang di sini pula menghitung hari untuk mereka keluar dari rumah sewa.

Umar Alwyn Peter Abdullah, 58, dan Rosidah Sentol, 58, yang merupakan pesakit kanser diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk keluar dari rumah berkenaan selepas beberapa kali gagal menjelaskan tunggakan sewa RM900 sebulan.

Menurut Umar, kehidupan mereka mula diuji selepas dia disahkan menghidap kanser buah pinggang pada tahun 2012.

"Ketika sihat, saya pernah bekerja sebagai pengurus syarikat dan selepas kontrak kerja tidak lagi disambung, saya dan isteri buat bisnes makanan untuk teruskan hidup.

"Tapi disebabkan kesihatan saya tidak menentu lama kelamaan kami tak mampu lagi untuk teruskannya sehinggalah pada tahun 2019 isteri pula disahkan menghidap kanser payudara," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, sejak itu, menjadi rutin dia dan isteri berulang alik ke Institut Kanser Negara, Hospital Putrajaya dan Klinik Kesihatan Seremban 2 untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, disebabkan itu mereka hilang sumber pendapatan sehingga dua rumah dan dua kereta terpaksa dilelong bank.

"Sejak itu kami berpindah-randah tinggal menyewa dan di rumah ini (Taman Sri Pinang) kami mula tinggal pada Oktober 2020.

"Waktu itu ada lagi duit simpanan sikit-sikit untuk bayar sewa dan ada juga adik beradik serta kawan bantu, tapi sampai bila saya nak minta tolong dengan mereka," katanya.

Disebabkan keadaan sudah mendesak, Umar yang dalam keadaan tidak sihat, bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Namun baharu sahaja mahu menarik nafas lega, syarikatnya pula berdepan masalah kewangan dan sudah tiga bulan tidak membayar gaji.

Antara ubat-ubatan yang perlu diambil Umar dan Rosidah.
Antara ubat-ubatan yang perlu diambil Umar dan Rosidah.

"Walaupun sakit, selagi mampu cari rezeki, saya akan kerja. Sekarang ini pun saya tengah cari kerja lain di sebuah kedai serbaneka, tapi tak tahulah dapat ke tidak kerana saya sudah tua.

"Terus terang segan nak meminta bantuan tapi saya tiada pilihan kerana perlu keluar dari rumah sewa secepat mungkin," katanya yang sebelum itu menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Perkasih.

Sehubungan itu menjadi harapannya jika ada sesiapa yang boleh membantu mendapatkan rumah lain buat sementara waktu dan lori untuk berpindah.

Jelasnya, tiada pengangkutan dan ada kalanya terpaksa meminjam kereta rakan.

"Saya ada kereta tapi terpaksa ditinggalkan di bengkel selepas terlibat kemalangan jalan raya kerana kami tak mampu nak bayar kos baik pulih.

"Sekarang ini saya hanya fikir di mana tempat kami nak tinggal selepas ini dan saya harap sesiapa dapat membantu," katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Unit Kebajikan dan Skiad Gerak Khas Majlis Agama Islam Negeri Sembilan(MAINS), Noor Fathihah Osman yang melawat pasangan suami isteri itu berkata, MAINS akan membantu menyelesaikan tunggakan sewa enam bulan dan tunggakan bil elektrik dan air lebih RM1,000.

"Baitulmal juga sebelum ini pernah membantu selesaikan tunggakan sewa rumah pasangan ini yang mana pada waktu itu mereka buat permohonan.

"Jadi sekarang selain bantu selesai segala tunggakan kita juga akan bantu cari rumah yang sesuai dengan kerjasama NGO Perkasih dan Pejabat Tanah dan Daerah.