Tanah lapangan terbang: 10 lagi individu dipanggil rekod keterangan

Mohd Fauzi
Mohd Fauzi
A
A
A

IPOH - Sepuluh lagi individu termasuk bekas exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Jumlah itu menjadikan 13 saksi telah tampil memberi keterangan berhubung siasatan kes itu, setakat ini.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, 10 saksi berkenaan terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), pegawai kerajaan negeri, bekas Exco Perak dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Seorang saksi yang merupakan ahli lembaga pengarah PKNP merangkap bekas penasihat undang-undang negeri telah dirakam kenyataannya.

"SPRM hari ini (Isnin) akan merakam kenyataan seorang lagi ahli lembaga pengarah perbadanan itu yang turut hadir dalam mesyuarat ALP PKNP berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Mohd Fauzi berkata, SPRM akan memanggil seorang lagi saksi penting dalam masa terdekat untuk memberi kenyataan sebelum fail siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan.

Menurutnya, siasatan SPRM masih menumpu kepada kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan) dan lain-lain kesalahan dibawah Akta SPRM.

"Siasatan setakat ini tiada menahan mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan kesalahan Akta SPRM berkaitan penjualan tanah terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

SPRM sebelum ini telah merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak berhubung isu penjualan tanah itu bagi membantu siasatan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.