Pahang setuju lupus 80 peratus hutang tanam semula peserta PKPP

Kerajaan negeri Pahang melalui PKPP bersetuju untuk melupuskan 80 peratus hutang tanaman semula kelapa sawit kepada peserta tanam semula PKPP. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Rosdy)
Kerajaan negeri Pahang melalui PKPP bersetuju untuk melupuskan 80 peratus hutang tanaman semula kelapa sawit kepada peserta tanam semula PKPP. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Rosdy)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) bersetuju untuk melupuskan 80 peratus hutang tanaman semula kelapa sawit kepada peserta tanam semula PKPP.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelupusan hutang itu melibatkan 194 peserta dari lima ladang Rancangan Tanah Pemuda (RTP) dan satu ladang kecil milik peserta yang diuruskan PKPP dengan luas keseluruhan 736.79 hektar.

Menurutnya, RTP terlibat iaitu RTP Sepayang di Rompin, RTP Gemuruh di Pekan, RTP Kampung Awah di Bera, RTP Sungai Ular di Lipis, RTP Klau di Raub dan Ladang Kecil Sungai Charu di Kuantan

"Jumlah keseluruhan hutang peserta RM13.9 juta, manakala hutang yang dilupuskan RM11.12 juta," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, kertas cadangan pelupusan 80 peratus hutang itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah PKPP pada 15 November 2021 dan 24 Mac 2022.

"Lembaga Pengarah PKPP bersetuju dengan cadangan pelupusan hutang itu, begitu juga dengan majoriti peserta.

"Pelupusan hutang sebanyak 80 peratus, manakala baki 20 peratus lagi masih perlu dijelaskan peserta," katanya.

Tambah beliau, peserta yang telah menjelaskan kesemua hutang boleh menguruskan sendiri ladang mereka atau menyerahkan pengurusan ladang kepada anak syarikat PKPP berkuat kuasa Jun 2022.

Artikel Berkaitan: