Penduduk desak warta pengambilan tanah ditarik

Khalid (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu.
Khalid (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk rumah teres Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu di sini mendesak warta pengambilan tanah kawasan itu ditarik terlebih dahulu sebelum rundingan lanjut antara penduduk dengan pemaju diteruskan.

Wakil penduduk, Azlan Mustafa, 35, berkata, penarikan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 itu perlu dilakukan bagi membolehkan rundingan dapat dijalankan secara adil.

Menurutnya, rundingan ketika akta masih berkuat kuasa seolah memaksa penduduk bersetuju dengan sebarang tawaran yang diberikan pemaju.

"Penduduk sedia maklum kawasan ini tidak boleh lari daripada pembangunan, namun bagi kes Kampung Sungai Baru penduduk hanya ditawarkan satu kertas kerja oleh satu pemaju secara usahasama dan bukan jual beli pada 2016.

"Unit yang diambil digantikan dengan unit lain mengikut keluasan menyebabkan ada penduduk yang tidak bersetuju dengan cadangan itu," katanya ketika sidang akhbar isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu bersama bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada Sabtu.

Katanya, apabila cadangan ditolak, pemaju tidak menambah baik atau mengemukakan cadangan baharu sebaliknya penduduk yang membantah terkejut notis Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Pada 18 Jun 2021, kami menerima notis Seksyen 2 untuk kami kemukakan bantahan disusuli notis di bawah Seksyen 8 bagi pengambilan tanah dua hari kemudian.

"Penilai swasta yang datang kepada kami maklumkan perlukan sekurang-kurangnya lima hari bekerja untuk penilaian. Bagaimana kami dalam dua hari mahu buat keputusan di saat negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara penduduk rumah teres yang hadir pada pada sidang akhbar isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu pada Sabtu.
Antara penduduk rumah teres yang hadir pada pada sidang akhbar isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu pada Sabtu.

Sementara itu, Khalid menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan membela nasib penduduk kerana isu pengambilan tanah itu berlaku di kawasan majoriti kaum Melayu.

"Nampak seperti Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim tidak ambil berat isu ini dan lebih berpihak kepada pemaju. Sepatutnya kerajaan bela nasib rakyat bukan pemaju.

"Agak pelik lepas keluarkan arahan baru rundingan mahu dibuat. Kita kena hormat hak pemilik, tanah ini ada geran dan mereka berhak menentukan pemaju yang dirasakan sesuai membangunkan tanah mereka," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Shahidan akan menghantar penilai bebas untuk menentukan nilai pampasan dan diselesaikan dalam masa seminggu seperti dimaklumkan menerusi perbincangan pada Jumaat (semalam).

Khalid turut memberitahu, isu Kampung Sungai Baru tidak dibawa kepadanya ketika beliau masih menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan kerana masih di peringkat rundingan antara pemaju dengan penduduk.