Gagal bayar cukai, 122 tanah di Kuala Pilah dirampas

Sebanyak 122 tanah di daerah ini dirampas sejak 2021 hingga kini dan 68 hak milik masih dalam tindakan perampasan akibat kegagalan pemiliknya membayar cukai tanah.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Faizal)
Sebanyak 122 tanah di daerah ini dirampas sejak 2021 hingga kini dan 68 hak milik masih dalam tindakan perampasan akibat kegagalan pemiliknya membayar cukai tanah.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Faizal)
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 122 tanah di daerah ini dirampas sejak 2021 hingga kini dan 68 hak milik masih dalam tindakan perampasan akibat kegagalan pemiliknya membayar cukai tanah.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, tindakan tersebut diambil mengikut Seksyen 100 dan Seksyen 130 Kanun Tanah Negara [Akta 828].

"Bermula pada tahun 2021 hingga kini, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah telah melaksanakan task force bagi menyelesaikan kutipan tunggakan cukai tanah yang melibatkan 28,057 hak milik.

"Melalui task force tersebut, kita telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua pemilik tanah yang mempunyai tunggakan cukai tanah sebelum tindakan perampasan dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut pihaknya telah mengeluarkan Notis 6A iaitu Notis Tuntutan Hasil Terhutang kepada 567 hak milik selepas pemilik atau waris gagal menyelesaikan tunggakan tersebut.

"Bagaimanapun, sebanyak 122 hak milik daripadanya telah dirampas, 68 dalam tindakan rampasan dan bakinya dalam proses penyelesaian bayaran hutang.

"Bagi tanah yang telah dilucuthak, pemilik atau waris boleh membuat permohonan semula tanah yang telah dilucuthak kepada kerajaan Negeri Sembilan mengikut kelayakan dan tempoh seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan Darul Khusus Bilangan 4/2023," katanya.

Katanya, sehingga 31 Mei lepas, Pejabat Daerah dan Tanah telah mengutip sebanyak lebih kurang RM3.77 juta cukai tanah semasa dan menunjukkan peningkatan kutipan sebanyak 11.92 peratus berbanding kutipan pada Mei tahun lepas.

"Bagi tunggakan cukai tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah telah mengutip sebanyak RM121,044 iaitu peningkatan sebanyak 14.72 peratus berbanding Mei tahun lepas.

"Namun begitu, masih terdapat 8,682 hakmilik yang masih mempunyai tunggakan cukai tanah lebih RM466,000. Saya ingin menyeru kepada semua pemilik tanah atau waris untuk menjelaskan cukai tanah sebelum 31 Disember ini," katanya.

Tambahnya, cukai tanah ini amat penting bagi memastikan pembangunan daerah Kuala Pilah selari dengan pembangunan negara dan seterusnya menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri yang berdaya saing.

"Semua pemilik atau waris juga diingatkan untuk mengemaskini maklumat seperti nombor telefon, alamat dan status pemilik tanah di Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Pilah bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan cukai tanah," katanya.