Pencalonan Ismail Sabri sebagai calon PM bukan terburu-buru: Ahmad

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tepat dan bukannya dilakukan secara terburu-buru.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan secara sebulat suara oleh MKT termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohammad Hassan itu dilihat dapat mententeramkan suhu politik negara.

"PRU15 bila-bila masa sahaja boleh berlaku. Rakyat mahu lihat kestabilan, maka UMNO perlu membuat satu ketentuan politik dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri.

"Terima kasih kepada Ahmad Zahid atas keterbukaan beliau iaitu sejak hari pertama nama Ismail Sabri dicadangkan sebagai Perdana Menteri pada mesyuarat MKT pada Ogos 2021.

"Ini merupakan kali kedua Ahmad Zahid menarik diri sebagai calon Perdana Menteri yang menunjukkan keterbukaan beliau sebagai pemimpin berjiwa besar," katanya ketika ditemui pemberita di Ayer Baloi di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menegaskan Memorandum Persefahaman (MoU ) 2.00 antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan ( PH ) yang akan berakhir pada 31 Julai ini juga tidak akan disambung meskipun terdapat cadangan agar ia diteruskan.

“MoU itu dimeterai untuk menangani penularan Covid-19. Tetapi kini negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dengan kegiatan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya telah berjalan seperti biasa," katanya.

Pada Khamis, MKT UMNO sebulat suara memutuskan untuk Ismail menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, MKT UMNO juga memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.

Pada 13 September 2021, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.