MOU: Ismail Sabri akur ketetapan MKT UMNO

Ismail Sabri (tiga dari kiri) melancarkan Coopmart di Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Pudina, Presint 17 pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tiga dari kiri) melancarkan Coopmart di Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Pudina, Presint 17 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) selepas tamat pada 31 Julai ini.

Sebagai Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri berkata, beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat MKT UMNO.

MKT UMNO pada Khamis memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.

Pada 13 September 2021, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

"Semalam (Khamis) keputusan dah dibuat iaitu sampai 31 Julai dan setakat semalam MKT mengatakan tidak perlu sambung MoU ini.

"Kalau ada perubahan apa-apa, MKT akan bincang semula,"," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Coopmart dan Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Bhd, di sini pada Jumaat.

MoU itu antaranya merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Pada 10 Mac lepas, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU tersebut, Anthony Loke dilaporkan berkata, pembangkang bersedia meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan Persekutuan selepas 31 Julai.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang kini Setiausaha Agung DAP berkata pembangkang tiada masalah untuk meneruskan MoU itu, lebih-lebih lagi selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti. - Bernama