Sah selamat untuk diminum

Mukhriz tidak melepaskan peluang merasai air dari loji rawatan mudah alih di Tupah yang disahkan KKM selamat diminum.
Mukhriz tidak melepaskan peluang merasai air dari loji rawatan mudah alih di Tupah yang disahkan KKM selamat diminum.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Air dari loji rawatan mudah alih di Tupah sedia dibekalkan kepada orang awam selain disahkan Kementerian Kesihatan selamat untuk diminum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, air yang disediakan melalui loji pihak Ranhill Water Technologies (RWT) itu melalui 'mobile treatment plant' atau loji rawatan air mudah alih berkapasiti lima meter padu sejam akan dijadikan satu sumber bekalan air terawat untuk kegunaan awam.

Menurutnya, berkonsepkan pili awam, orang ramai boleh mengambil air di kawasan terbabit dengan mengisi dalam bekas untuk dibawa pulang.

"Air dari loji ini sudah boleh dibekalkan kepada orang ramai dan ia disahkan kementerian selamat diminum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Majlis Sambutan Air Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda hari ini.

Gimik Pelancaran Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan Tahun 2019 di Pantai Merdeka Kota Kuala Muda.
Gimik Pelancaran Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan Tahun 2019 di Pantai Merdeka Kota Kuala Muda.

Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar meninjau loji berkenaan di Merbok sambil tidak melepaskan peluang merasai air dari loji terawat itu yang disahkan selamat diminum.

Katanya, loji tersebut turut dilengkapi tiga unit tangki statik untuk memudahkan penduduk kampung mengambil air terus bagi kegunaan harian.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mukhriz, selain usaha itu, kerajaan negeri bersama Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) telah bersetuju untuk menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air mentah iaitu dengan membina telaga tiub di bahagian atas dari kolam takungan Loji Headwork Tupah dan Loji Headwork Merbok.

Dengan kaedah ini, kuantiti air di kedua-dua loji berkenaan dapat dipertingkatkan.

Aktiviti sukan air sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan Tahun 2019 di Pantai Merdeka Kota Kuala Muda.
Aktiviti sukan air sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan Tahun 2019 di Pantai Merdeka Kota Kuala Muda.

Menurutnya, kemarau memberi kesan kepada kapasiti sumber air dari tiga loji yang terletak di kawasan tadahan Gunung Jerai termasuk Loji Headwork Tupah, Loji Headwork Merbok dan Loji Headwork Gurun yang kini hanya mampu beroperasi sekitar 50 peratus daripada kapasiti pengeluaran normal.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan pengguna di kawasan berkedudukan tinggi dan penghujung sistem berdepan krisis air sekali gus menyebabkan gangguan kritikal dan berterusan.

"Kawasan yang terjejas secara langsung ialah Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun, melibatkan hampir 5,000 akaun," katanya.

Beliau menjelaskan, keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negeri Kedah dijangka berterusan sehingga bulan Mei 2019.