'Lebih risaukan Covid-19, jangan abai bahaya denggi'

Demam denggi masih ada dan relevan. - Gambar hiasan
Demam denggi masih ada dan relevan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang secara berterusan mempunyai simptom demam denggi seperti demam berterusan, cirit birit dan sakit badan walaupun diuji negatif Covid-19, dinasihatkan untuk menjalani ujian demam itu di fasiliti perubatan, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai.

Beliau berkata, bahaya demam denggi masih ada dan relevan, tetapi orang ramai kini lebih suka tidak mengendahkannya kerana mereka lebih berjaga-jaga terhadap Covid-19, berbanding dengan penyakit lain selepas hidup dalam pandemik itu selama lebih dua tahun.

"Dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk ujian denggi, jika demam berterusan dan rasa tidak sihat, kerana pada ketika ini tidak seperti Covid-19 tiada kit ujian diri tersedia untuk denggi.

"Orang ramai lebih risaukan mengenai Covid-19 dan sering terlupa mengenai denggi ketika pandemik ini. Bagaimanapun denggi masih ada dan ia satu ancaman penyakit yang kita perlu perhatikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Kar Chai menambah, bahawa sesiapa sahaja tanpa mengira umur boleh menghidap penyakit yang serius akibat denggi atau Covid-19, dan kedua-dua jangkitan lebih berkemungkinan menyebabkan komplikasi kronik pada orang dewasa seperti diabetes dan penyakit jantung, selain kanak-kanak kecil.

Beliau menjelaskan, bahawa keadaan pesakit akan menjadi lebih teuk lagi jika mereka dijangkiti Covid-19 dan denggi secara bersekali, kerana ia melemahkan sistem imun, dan pesakit lebih terdedah untuk berada dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun beliau berkata, kebanyakan kes denggi mungkin tidak memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital dan boleh diuruskan di rumah, walaupun pesakit dikehendaki untuk bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan darah bagi memantau kiraan darah mereka setiap hari.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit akan berasa lebih sihat dalam masa kira-kira seminggu selepas mengambil ubat sokongan dan penjagaan yang betul seperti yang diarahkan oleh doktor.

"Sekiranya mereka disahkan positif denggi di pusat perubatan, pesakit akan dinasihatkan oleh doktor jika mereka boleh dirawat di rumah atau memerlukan pemantauan lanjut di hospital, dan menggalakkan mereka minum banyak air dan cecair elektrolit untuk kekal terhidrat.

Artikel Berkaitan:

"Doktor juga akan menasihatkan pesakit supaya berhati-hati terhadap sebarang tanda bahaya denggi seperti kerap muntah dan/atau cirit-birit, sakit perut, mengantuk atau meragam, kesukaran bernafas, bintik merah atau tompok pada kulit, pendarahan dari hidung atau gusi, muntah darah, najis berwarna hitam, atau haid yang banyak.

"Sekiranya penjaga atau pesakit sendiri menyedari mana-mana tanda ini, sila pergi ke hospital atau bahagian kecemasan terdekat dengan segera,” kata Dr Kar Chai.

Dr Kar Chai berkata, pesakit boleh dijangkiti denggi lebih daripada sekali, kerana terdapat empat ‘serotypes’ denggi iaitu DENV1, DENV2, DENV3 dan DENV4. Seseorang boleh dijangkiti denggi sehingga empat kali seumur hidup, dan ada kemungkinan ia boleh menjadi lebih teruk pada jangkitan kedua, menyebabkan pesakit berkemungkinan menghidapi denggi yang lebih teruk yang boleh mengakibatkan pendarahan dan kematian.

"Oleh kerana terdapat empat ‘serotype’ virus denggi, jika pesakit dijangkiti salah satu dan pulih daripadanya, pesakit akan imun terhadap ‘serotype’ tersebut, tetapi masih terdedah kepada tiga ‘serotype’ yang lain,” katanya.

Dr Kar Chai berkata, orang ramai perlu mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan untuk menjaga kebersihan rumah dan persekitaran, serta memastikan ia bebas daripada tempat pembiakan nyamuk kerana seseorang itu boleh dijangkiti denggi sama ada di dalam atau di luar rumah, walaupun kajian menunjukkan bahawa peluang lebih tinggi semasa berada di luar rumah.

"Malah di dalam rumah, ramai yang terlupa memastikan tiada tempat pembiakan terutama di kawasan basah dan air bertakung seperti kawasan dapur dan bilik air. Justeru, kawasan dalam rumah masih berisiko dijangkiti denggi,” katanya.

Maklumat ini tersedia kepada orang ramai untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan perundingan dengan penyedia penjagaan kesihatan. Sila rujuk kepada pembekal penjagaan kesihatan anda untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Mesej khidmat masyarakat ini disokong oleh Takeda Malaysia.- Bernama