7,114 kakitangan kerajaan Pulau Pinang terima duit raya RM1,200

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 7,114 kakitangan kerajaan di Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan (BBK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri meluluskan bantuan khas itu pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang diadakan pada Rabu.

Menurutnya, pembayaran akan dibuat pada 27 April ini sebagai persediaan untuk menyambut Syawal pada awal Mei nanti.

"Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran BBK sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 kepada 7,114 anggota perkhidmatan awam negeri.

"Pemberian tersebut juga dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau menambah, daripada jumlah itu, ia turut melibatkan penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan guru serta kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.

"Kesemua mereka ini masing-masing akan menerima RM300 selain guru tahfiz, guru pondok serta guru tadika Islam (TADIS) akan menerima RM200.

"Pemberian bantuan itu membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM7.35 juta kepada kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pemberian BBK itu adalah sebagai penghargaan khas Kerajaan Pulau Pinang kepada semua penjawat awam yang telah mencurahkan segala keringat dalam menempuh tempoh pandemik Covid-19 sebelum ini.