618 penerima di Jerantut terima Bantuan Khas Aidilfitri

Sebahagian wajah ceria penerima di Jerantut yang menerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023.
Sebahagian wajah ceria penerima di Jerantut yang menerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023.
A
A
A

JERANTUT - Seramai 618 orang ceria menerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023 Daerah Jerantut membabitkan jumlah sebanyak RM157,600 daripada kerajaan negeri.

Kesemua mereka yang terdiri daripada Pengerusi,Timbalan dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pengerusi JPKK Orang Asli,Tok Batin dan ibu tunggal menerima bantuan yang disampaikan oleh wakil Menteri Besar iaitu Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut di sini pada Rabu.

Bagi Timbalan Pengerusi JKKR atau Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, 60, menyifatkan bantuan ini menunjukkan kerajaan negeri menjaga kepentingan pemimpin di peringkat bawah.

Menurutnya, bantuan itu dapat meringankan beban mereka dalam menyambut Aidilfitri dalam suasana rakyat berdepan kenaikan kos hidup.

Haris (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima di Jerantut.
Haris (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima di Jerantut.

"Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memperuntukkan sumbangan ini kepada kami untuk seluruh Pahang," kata beliau.

Pengerusi JPKKOA Kampung Sungai Lol, Ahmad Farok Fauzi, 42 pula menghargai keprihatinan kerajaan negeri yang tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli.

"Bantuan sebegini amat dihargai dan dapat digunakan sebaik mungkin untuk membeli keperluan sempena musim perayaan," jelas beliau.

Sementara itu, Haris memberitahu, bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pelbagai lapisan rakyat di Pahang.

Beliau juga berharap semua penerima terlibat di daerah itu menggunakan bantuan sebaik mungkin.

"Bantuan Aidilfitri yang disediakan oleh kerajaan negeri hari ini hendaklah digunakan sebaiknya, bak kata orang lama-lama sedikit sama merasa, gembira dikongsi bersama," tambah beliau.

Sebelum ini, kerajaan Pahang bersetuju memberi Bantuan Khas Aidilfitri 2023 berjumlah RM12.95 juta membabitkan lima kategori penerima yang memberi manfaat kepada 22,973 penerima di negeri tersebut.