Harimau dahan serang ternakan ditangkap di Sik

Harimau dahan (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Harimau dahan (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

SIK - Seekor harimau dahan jantan yang menyerang ternakan di Kampung Charok Sireh di sini, berjaya ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Sik, kira-kira 11 pagi, Rabu.

Pembantu Hidupan Liar Perhilitan Daerah Sik Muhammad Shahroni Hussian berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran harimau dahan itu daripada seorang penternak lembu, Mohd Syahmi Abdul Manaf, 34, selepas haiwan terbabit menyerang ternakannya pada Isnin lepas.

"Pengadu yang membela 20 ekor lembu, memaklumkan seekor anak lembu miliknya mati dengan beberapa bahagian badan telah hilang dipercayai dimakan harimau terbabit.

"Kami bertindak memasang perangkap pada keesokan harinya dengan meletakkan sisa bangkai lembu berkenaan sebagai umpan dan harimau itu berjaya ditangkap pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Menurutnya, harimau dahan sebesar saiz seekor kambing dewasa itu, dipindahkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke Hutan Simpan Ulu Muda untuk dilepaskan kira-kira 1 tengah hari tadi.

Muhammad Shahroni berkata, proses melepaskan harimau itu berjalan lancar dan haiwan liar tersebut tidak mengalami kecederaan walaupun pada awalnya kelihatan agresif selepas terperangkap di dalam sangkar.

"Ini merupakan aduan pertama yang diterima mengenai harimau dahan yang muncul di kampung terbabit dan kami percaya ia datang dari habitatnya di Hutan Simpan Teloi. Ia tidak mengancam manusia tetapi menyerang haiwan ternakan,” katanya.

Menurut Muhammad Shahroni, pada bulan lepas seekor harimau dahan berjaya ditangkap di kawasan Belantik dekat sini, selepas dilaporkan menyerang haiwan ternakan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tidak mengancam nyawa manusia, kami perlu bertindak pantas menangkapnya bagi mengelakkan lebih banyak haiwan ternakan menjadi mangsa. Ia juga bukan spesies terancam seperti harimau belang, namun tetap perlu ditangkap dan dilepaskan ke habitat asal,” katanya. - Bernama