Sarang sindiket judi dalam talian digempur

Antara telefon bimbit yang dirampas pihak polis dalam serbuan tersebut.
Antara telefon bimbit yang dirampas pihak polis dalam serbuan tersebut.
A
A
A

KAJANG - Sebanyak empat buah rumah yang dijadikan sarang sindiket perjudian haram dalam talian digempur polis menerusi Op Dadu Khas dalam serbuan berasingan di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM40,000 sebulan.

Menurutnya, hasil risikan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat serbuan bermula jam 11.30 pagi sehingga jam 6 petang di sekitar Kampung Baru Balakong, Taman Casa Green, dan Landmark Residences di sini.

"Pasukan serbuan mendapati sekumpulan lelaki dan perempuan warga tempatan sedang sibuk menjalankan aktiviti urusniaga judi online dengan menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

"Maklumat awal mendedahkan pusat judi online ini telah beroperasi selama lebih kurang satu tahun dan mengaut keuntungan yang dianggarkan hampir RM40,000 sebulan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, penyelia pusat operasi sindiket tersebut antara 12 orang lelaki dan dua wanita tempatan yang ditahan sepanjang operasi tersebut namun dalang sebenar kegiatan berkenaan masih belum dikenalpasti.

Mohd Zaid berkata, polis merampas sebanyak lapan unit komputer, komputer riba (dua unit), telefon bimbit (53 unit) dan modem pelayar internet.

"Sindiket mempunyai tiga jenis permainan perjudian dalam talian di dalamnya iaitu slot games, roulette dan table games, dengan menjalankan aktiviti promosi dan komunikasi urusniaga melalui aplikasi WhatsApp, Wechat dan Telegram untuk pasaran tempatan,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a), (c), (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.