UM pandang serius kejadian penuntutnya diserang

Universiti Malaya
Universiti Malaya
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Malaya (UM) memandang serius kejadian penuntutnya diserang seperti yang tersebar dalam media ketika berkumpul memegang plakad di luar kampus UM.

Naib Canselor UM, Datuk Dr Ir Abdul Rahim Hashim mengesahkan seramai enam penuntut UM disahkan terlibat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, UM sentiasa prihatin akan isu keselamatan membabitkan mahasiswa di dalam dan luar kampus.

“UM secara konsisten memberikan kebebasan kepada penuntutnya menyuarakan pandangan dan menentukan idealisme masing-masing dalam mengutarakan isu berkaitan mahasiswa, sosial, ekonomi mahupun politik dalam ruang lingkup undang-undang dan peraturan yang diwartakan di negara ini.

“Diharapkan mereka yang terlibat dalam insiden ini sama ada penuntut mahupun penyokong kumpulan tertentu lebih matang dalam bertindak pada masa hadapan tanpa menggunakan kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian ini boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengelakkan kata-kata dan tindakan provokatif.

Abdul Rahim berkata, dalam era Malaysia baharu, UM mengakui peranan mahasiswa membangunkan negara melalui penglibatan dan penyertaan aktif dalam aktiviti politik kepartian.

Menurutnya, perkembangan ini menuntut teladan yang baik daripada ahli dan aktivis politik bagi membentuk aktivisme mahasiswa menjadi lebih sihat agar budaya politik matang dapat diwujudkan.

Artikel Berkaitan:

“UM akan terus mengalu-alukan wacana pertukaran idea dan pandangan dalam usaha mendidik serta mengeluarkan intelektual yang berwibawa serta pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian negara ini.

“Semoga setiap anggota masyarakat bersama-sama dengan pihak universiti dalam menjayakan usaha mendidik mahasiswa negara ini ke arah masyarakat bertamadun yang mana semua isu diselesaikan dengan aman tanpa sebarang kekerasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, UM tidak akan menyokong mana-mana tindakan provokasi lisan mahupun visual sama ada dilakukan oleh penuntut mahupun kumpulan tertentu memandangkan masyarakat Malaysia menuju ke arah masyarakat madani yang penuh dengan kesantunan dan kesusilaan.

Semalam, program bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan UM kecoh apabila berlaku pergelutan antara penyokong Najib dengan beberapa penuntut UM.

Pergelutan itu berlaku ketika Najib sedang berucap, manakala penuntut berkenaan memegang plakad sambil menjerit ‘penipu’ dan ‘mana RM2.6 bilion’ malah turut mengangkat plakad gambar badut menyerupai Najib.

Dalam video klip berdurasi 2.21 minit, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam turut dilihat berada di situ dan beliau mengoyak salah satu plakad dibawa penuntut terbabit.