Ahmad Zahid bela diri hari ini

Ahmad Zahid (kanan) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 9.08 pagi Rabu untuk prosiding bela diri hari pertama berhubung 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Ahmad Zahid (kanan) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 9.08 pagi Rabu untuk prosiding bela diri hari pertama berhubung 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB).
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 9.08 pagi Rabu untuk menjawab 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba bersama penyokongnya yang menunggu di luar mahkamah sejak awal pagi.

Ahmad Zahid, 69, merupakan saksi pembelaan pertama dan membaca pernyataan saksi pada jam 9.40 pagi di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan bermula pada 13 dan 15 April; 23-26 Mei; 27-30 Jun; 1, 4-7 Julai; 22, 23, 29 dan 30 Ogos; 19-22 September serta 26-29 September; 17-20 dan 31 Oktober serta 1-3 dan 7-10 November.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas.

Pada 24 Januari, Hakim Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 19 Mac 2021, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan; pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.