Dua diplomat Malaysia ditempatkan di Wisma Putra, bukan JPA

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Shafiq)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Shafiq)
A
A
A

PUTRAJAYA - Dakwaan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai yang dipanggil pulang akan ditugaskan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kedua-dua diplomat berkenaan akan ditempatkan di Wisma Putra dan bukannya JPA seperti laporan beberapa media sebelum ini.

"Dakwaan bahawa kedua-dua diplomat itu akan dihantar ke 'cold storage' adalah tidak benar," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Terdahulu Kementerian Luar Negeri (KLN) dilaporkan mengambil langkah memanggil pulang kedua-dua diplomat tersebut berikutan kegagalan mereka menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Mengulas lanjut Mohd Shafiq berkata, Wisma Putra sedang mengatur proses pulang Duta Besar Malaysia ke UAE serta Konsul Jeneral di Dubai.

Mohd Shafiq berkata, istilah ditugaskan ke 'pool' dalam perkhidmatan awam telah disalah erti dan dipandang negatif oleh orang ramai.

Katanya, penjawat awam yang ditempatkan dalam 'pool' boleh berlaku kepada mereka yang terlibat semasa menunggu penempatan baharu atau jika mereka sedang cuti belajar.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafiq memaklumkan, ketika ini terdapat 29 kekosongan jawatan ketua-ketua perwakilan Malaysia di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Satu mesyuarat akan diadakan pada Rabu bagi membincangkan pengisian 29 kekosongan jawatan ketua-ketua perwakilan.

“Saya ingin tahu kenapa berlaku kelewatan mengisi kekosongan ini dan berapa lama jawatan ini tidak diisi.

“Diplomat kita ditugaskan di luar negara untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan Malaysia di arena antarabangsa dan untuk memastikan kesinambungan dasar luar negara," katanya.