Gagal urus lawatan PM ke Dubai, diplomat Malaysia dipanggil pulang

Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang selepas kedua-dua ketua perwakilan itu gagal menyelaras urusan pentadbiran serta logistik bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara tersebut hujung bulan lalu. - Gambar hiasan
Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang selepas kedua-dua ketua perwakilan itu gagal menyelaras urusan pentadbiran serta logistik bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara tersebut hujung bulan lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid dipanggil pulang selepas kedua-dua ketua perwakilan itu gagal menyelaras urusan pentadbiran serta logistik bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara tersebut hujung bulan lalu.

Menerusi kenyataannya, Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan bersama pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam," katanya pada Isnin.

Jelas KLN, kegagalan kedua-dua ketua perwakilan tersebut menyebabkan Ismail Sabri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai selain liputan, kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Ismail Sabri seperti amalan prosedur operasi standard (SOP) biasa juga tidak ada.

"Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika Ismail Sabri menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut KLN, kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada kementerian di Putrajaya mengenai penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (WGS) yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai.

"Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui mengenai WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain.

Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal mengenai penganjuran WGS, pastinya usaha dibuat supaya Ismail Sabri dapat menyampaikan ucapan di program tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kementerian itu berkata, pada tengah hari 30 Mac lalu, Menteri KLN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Reem Ebrahim Al Hashimy.

"Melalui pertemuan tersebut, Perdana Menteri diundang menghadiri Majlis Penutup WGS pada petang itu," katanya.

Ujar KLN, masalah itu tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal.

"Ini kerana UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Ismail sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan," katanya.

Semasa majlis perlepasan pulang Ismail Sabri dari Dubai, UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum dan diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, Omar Sultan Al Olama.

"Semasa di lapangan terbang itu, Omar menyampaikan undangan UAE kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS tahun 2023 dan Ismail Sabri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut," katanya.