Kes helikopter ambil 'nasi ganja' tidak pernah ditutup

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Polis tidak pernah menutup siasatan kes membabitkan isu helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil 36 bungkus 'nasi ganja' pada Julai tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan sewajarnya termasuk tuduhan di mahkamah akan tetap diambil terhadap pihak-pihak terlibat sebaik menerima kelulusan daripada Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, ketika ini kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan hanya menunggu keputusan daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

"Apa sahaja siasatan dijalankan, kita ada bidang kuasa, dalam kes ini, polis telah selesaikan siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Peguam Negara untuk dapatkan kelulusan. Jadi kita tunggulah arahan selanjutnya nanti.

"Yang pasti kes ini tidak ditutup, masih hidup," katanya ketika ditemui pemberita dalam Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Persatuan-persatuan Rumah Ibadat Perak di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mengingatkan pihak berkuasa supaya segera menyelesaikan 'kes mudah'.

Mior Faridalathrash menyantuni sebahagian wakil persatuan-persatuan rumah ibadat di Perak yang hadir sempena perjumpaan bersama Ketua Polis Perak pada Selasa.
Mior Faridalathrash menyantuni sebahagian wakil persatuan-persatuan rumah ibadat di Perak yang hadir sempena perjumpaan bersama Ketua Polis Perak pada Selasa.

Pengerusinya, Mohd Sidek Hassan ketika berucap dalam Majlis Apresiasi EAIC ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 1 April lalu memberi contoh kes helikopter terbabit yang disifatkan tidak ada penghujung yang menghakis kredibiliti agensi penguatkuasaan dan seterusnya kredibiliti kerajaan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, dalam kenyataan media sebelum ini telah dimaklumkan bahawa polis telah pun menyelesaikan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, satu arahan kemudiannya telah dikeluarkan untuk polis mengambil tindakan lagi berhubung beberapa isu berbangkit berkaitan perundangan.

"Siasatan perkara itu juga telah kita lengkapkan dan kembali dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Jadi di pihak polis, kita telah pastikan semua siasatan dilaksanakan dengan secepat mungkin.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini kita akan ambil tindakan kompaun kepada pihak terlibat atau menuduh di mahkamah. Saya akan umumkan selepas mendapat keputusan terkini," katanya.