Gaji minimum amah asing ikut had gaji Malaysia

Saravanan (kanan) ketika sidang akhbar berkaitan penggajian pekerja asing yang diadakan di Wisma HRD Corp, di sini pada Selasa.
Saravanan (kanan) ketika sidang akhbar berkaitan penggajian pekerja asing yang diadakan di Wisma HRD Corp, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penetapan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja domestik atau amah Indonesia selari dengan had gaji minimum di negara ini yang akan bermula 1 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan turut menegaskan, kerajaan tidak pernah berselindung mengenai penetapan gaji dan isi kandungan memorandum persefahaman (MoU) mengenai penempatan dan pelindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Menurutnya, semasa perbincangan dengan Indonesia, kerajaan tidak bersetuju untuk membayar RM1,500 bagi pembantu rumah memandangkan gaji minimum di Malaysia ketika itu masih RM1,200.

“Saya tidak boleh bersetuju dengan RM1,500 walaupun Indonesia menggesa kami menaikkannya tetapi jika majikan boleh membayar RM1,500, terpulang kepada mereka. MoU bermula dengan RM1,200.

“Bagaimanapun, gaji minimum pembantu rumah warga Indonesia akan meningkat kepada RM1,500, selaras dengan kenaikan gaji minimum negara ini yang akan bermula pada 1 Mei depan,” katanya pada sidang akhbar berkaitan penggajian pekerja asing yang diadakan di Wisma HRD Corp, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 10,000 pembantu rumah Indonesia akan menjadi kumpulan pertama masuk ke negara ini selepas Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, kerajaan juga akan memperbaharui MoU dengan India dan akan berunding dengan Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh bagi membawa masuk pembantu rumah ke Malaysia.

“Saya akan melawat Kemboja dan Vietnam dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai sektor pekhidmat domestik,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: