Netflix Malaysia beri penjelasan kehilangan Iedil Putra

Netflix Malaysia berkata berita yang tersebar mengenai kehilangan Iedil Putra adalah sebahagian promosi pemasaran. -Foto/Instagram Iedil Putra
Netflix Malaysia berkata berita yang tersebar mengenai kehilangan Iedil Putra adalah sebahagian promosi pemasaran. -Foto/Instagram Iedil Putra
A
A
A

PELAKON Iedil Putra berada dalam keadaan selamat selepas dia dilaporkan 'hilang'.

Dalam satu kenyataan, Netflix Malaysia berkata berita yang tersebar mengenai kehilangan Iedil Putra atau nama sebenarnya, Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin adalah sebahagian promosi pemasaran.

"Kami menghargai kebimbangan dan pertanyaan anda mengenai siaran dalam talian baru-baru ini mengenai kehilangan Iedil.

"Kami ingin memberi jaminan kepada semua orang bahawa ini adalah sebahagian daripada promosi pemasaran.

"Iedil kini selamat dan sihat," kata Netflix Malaysia dalam kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, Netflix Malaysia memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang mungkin disebabkan kempen promosi berkenaan.

"Kami amat menghargai pemahaman dan sokongan anda pada masa ini.

"Terima kasih kerana menghormati komitmen Iedil terhadap kraf dan kerjanya.

"Butiran lanjut mengenai kempen akan didedahkan tidak lama lagi," tambah kenyataan itu.

Kira-kira sejam lalu satu kenyataan dimuat naik di Instagram Iedil memaklumkan mengenai 'kehilangannya'.

Kenyataan tersebut mendakwa pelakon filem "Terbaik dari Langit" itu gagal dikesan sejak hadir pelancaran filem Netflix "Extraction 2" di Manila, Filipina baru-baru ini.

"Kami tertanya-tanya apa berlaku kepadanya sebab sudah cuba menghubunginya secara peribadi tetapi tiada jawapan.

"Jika anda semua tahu Iedil dekat mana, sila maklum kepada kami menerusi 'direct message'," tulis kemas kini tersebut. - Awani