Cadangan pembesaran Empangan Air Itam tidak munasabah

Cadangan agar Empangan Air Itam dibesarkan dilihat tidak munasabah. Gambar kecil: Jaseni
Cadangan agar Empangan Air Itam dibesarkan dilihat tidak munasabah. Gambar kecil: Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Cadangan Empangan Air Itam diperbesarkan dalam usaha menampung permintaan air dilihat satu idea tidak munasabah dari dalam konteks kejuruteraan kerana beberapa faktor.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, sehingga bulan ini, simpanan air Empangan Air Itam telah berkurangan.

Tambahnya, senario itu ini bukan disebabkan kapasiti empangan yang tidak mencukupi sebaliknya kerana kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan air (KTA) empangan dan permintaan air yang tinggi di Air Itam dan kawasan sekitarnya.

"Jurutera bekalan air akan mencadangkan untuk menambah saiz empangan hanya jika data hujan menunjukkan KTA (atau sumber air mentah, seperti sungai) boleh menyalurkan lebih banyak air daripada kapasiti maksimum empangan yang sedia ada.

"Memperbesarkan Empangan Air Itam tanpa menambah saiz KTA adalah sia-sia. Ia sama seperti menuang jumlah sup yang sama dari mangkuk yang lebih kecil ke dalam mangkuk yang lebih besar. Hidangan mungkin kelihatan lebih enak tetapi jumlah sup tetap sama.

"Sementara itu, KTA Air Itam yang dilindungi tidak boleh diperbesarkan kerana Pulau Pinang merupakan negeri yang sesak dan tidak banyak kawasan hutan hujan yang tinggal untuk diwartakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jaseni berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang berhubung pembesaran Empangan Air Itam sebagai usaha untuk menampung bekalan air oleh penduduk di Pulau Pinang.

Tambahnya, empangan yang berusia 60 tahun sejak ia beroperasi itu direka bentuk untuk diisi dan diisi semula oleh hujan di sekitar KTA Air Itam.

"Sebelum empangan dibina, jurutera bekalan air mengira saiz optimumnya berdasarkan potensi hasil air KTA. Kemudian, mereka membina empangan yang boleh menahan tekanan sehingga 2.16 bilion liter kapasiti air efektif dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Pengiraan kejuruteraan bekalan air tahun 1960-an telah terbukti betul. Empangan itu dengan jelas mampu bertahan dalam ujian masa dari segi kapasiti efektif maksimum dan integriti struktur. Sebarang pembesaran yang dicadangkan akan melibatkan kerja-kerja kejuruteraan semula dan pembinaan semula yang meluas, yang memerlukan penutupan empangan.

"Menutup empangan tidak munasabah kerana boleh menyebabkan penduduk di Air Itam dan kawasan sekitar tiada bekalan air selama beberapa tahun," katanya.

Jaseni berkata, bagi memastikan Air Itam dan Pulau Pinang mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga 2030, PBAPP melaksanakan Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) yang merangkumi lima projek utama.

"PBAPP merancang untuk menyiapkan dua projek naik taraf di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua Pulau Pinang, membina tiga LRA baharu di Empangan Mengkuang, Sungai Muda dan Sungai Perai serta mengenal pasti Sungai Perai sebagai sumber air mentah tambahan untuk Pulau Pinang," katanya.

Tambah beliau, PBAPP ingin meyakinkan pengguna air Pulau Pinang bahawa RWCP 2030 telah direka bentuk dengan teliti untuk membantu menangani isu bekalan air di seluruh negeri.

"RWCP 2030 akan mengurangkan dengan ketara risiko krisis bekalan air di Pulau Pinang sehingga 2030, terutamanya semasa musim kemarau berlanjutan yang berkaitan perubahan iklim.

Melangkaui 2030, Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) PBAPP mengesyorkan loji penyahgaraman di kawasan strategik bagi memastikan kecukupan bekalan air sehingga 2050, bergantung kepada keputusan akhir cadangan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang pelaksanaannya tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.