PKB benarkan bekas pemilik diami rumah hingga 31 Julai

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) selaku pemegang hak kepada pangsapuri yang terlibat dalam pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, tidak mempunyai halangan untuk membenarkan bekas pemilik unit kediaman itu untuk terus mendiami rumah berkenaan sehingga 31 Julai ini.

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik yang terlibat selepas Borang K (notis pengosongan rumah) dikeluarkan oleh JKPTG.

JKPTG mengeluarkan kenyataan itu susulan berita tular di sebuah portal tempatan mengenai penduduk kecewa selepas menerima notis pengosongan rumah pada bulan Ramadan.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu membabitkan 72 unit pangsapuri, 37 unit rumah teres dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad.

"Bayaran pampasan pangsapuri mula dibayar secara berperingkat pada Februari 2022. Pampasan dibayar dalam lingkungan RM198,000 hingga RM350,000 mengikut prinsip Jadual Pertama, APT 1960 (Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960).

"Mana-mana pemilik rumah yang tidak berpuas hati dengan award Pentadbir Tanah bolehlah mengemukakan bantahan melalui Borang N APT 1960 (permohonan supaya bantahan dirujukkan kepada mahkamah) dalam tempoh 42 hari dari tarikh award,” menurut kenyataan itu.

JKPTG telah mengeluarkan Borang K diiringi dengan surat iringan setelah bayaran pampasan dibayar kepada pihak berkepentingan.

Surat tersebut dikeluarkan secara pentadbiran untuk menerangkan maksud Borang K dan pengeluaran surat iringan itu adalah satu prosedur standard dalam proses pengambilan tanah bagi memaklumkan bahawa pangsapuri itu diletakhakkan kepada badan berkanun yang berkenaan iaitu PKB. - Bernama

Artikel Berkaitan: