Satu tan sampah dikutip dari Sungai Pinang setiap hari

Pekerja pembersihan mengutip satu tan sampah daripada 'log boom' Sungai Pinang setiap hari.
Pekerja pembersihan mengutip satu tan sampah daripada 'log boom' Sungai Pinang setiap hari.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak satu tan sampah dikutip di 'log boom' yang dipasang di Sungai Pinang di sini setiap hari oleh pekerja pembersihan yang ditugaskan.

Antara barangan yang dikutip adalah katil, peti ais, sofa, plastik pembungkus makanan, perkakas plastik dan botol minuman.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, jumlah sampah tersebut diperoleh daripada beberapa 'log boom' yang dipasang di Sungai Pinang bagi memerangkap sampah daripada terus mengalir ke laut.

Menurutnya, kerajaan negeri mempertingkatkan kerja mengutip sampah setiap hari bagi memastikan jumlah sampah tidak terlalu banyak di dalam sungai berkenaan.

"Selain itu, kita akan memulakan kerja pengorekan sungai dengan kos RM450,000 di tiga lokasi di Sungai Pinang iaitu Taman Areca, tebing Sungai Mati dan muara Sungai Pinang. Ia bertujuan untuk membersihkan selut hitam yang berada di dasar sungai.

"Semua kerja ini memang boleh kerajaan negeri lakukan demi menjaga kebersihan sungai tersebut, namun kita juga memerlukan kesedaran daripada masyarakat agar tidak membuang sampah di dalam longkang dan sungai.

"Usaha yang dilakukan tidak akan menampakkan hasil sekiranya sikap manusia tidak berubah," katanya pada sidang akhbar selepas melawat 'log boom' Sungai Pinang di sini pada Isnin.

Pekerja pembersihan menunjukkan ikan yang mati ketika membersihkan sampah di Sungai Pinang.
Pekerja pembersihan menunjukkan ikan yang mati ketika membersihkan sampah di Sungai Pinang.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Sungai Pinang pernah disenaraikan sebagai 10 sungai terkotor di Malaysia.

Dalam pada itu, Zairil berkata, longkang selari (parallel drain) antara komponen dalam Fasa 2 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang bernilai RM150 juta yang dijangka dibina bermula Oktober tahun ini setelah tertangguh sejak 20 tahun lalu.

Katanya lagi, fungsi longkang tersebut adalah untuk mengelakkan air longkang bersama sampah masuk ke Sungai Pinang yang akan mengotorkan lagi sungai tersebut.

"Fasa pertama longkang itu adalah sepanjang 1.6 kilometer (km) bermula dari Jalan Langkawi ke Kampung Rawa. Usaha membina longkang bawah tanah ini adalah untuk memelihara air sungai daripada tercemar akibat sampah yang dibuat.

"Air yang melalui longkang ini akan ditapis sebelum dilepaskan ke laut, sampah yang disaring daripada air longkang itu akan dibuang. Air tersebut tidak akan dirawat sebaliknya terus dialirkan ke sungai," katanya.

Sebelum ini, kerajaan pusat mengumumkan sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang.

Peruntukan itu diluluskan bagi kerja menaiktaraf Sungai Pinang dengan mendalamkan serta melebarkan sungai berkenaan.

Difahamkan, projek RTB Sungai Pinang tidak diteruskan sejak 1999 setelah ia tergendala selepas fasa satu disiapkan.