Tok Ku Pulau Manis dalam ingatan

Anggota JPKT dan polis bantuan TNB bersama masyarakat setempat menjayakan gotong royong sempena memperingati tokoh ilmuan, Syeikh Abdul Malek Abdullah.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 21 anggota daripada Jabatan Perkhidmatan Keselamatan Negeri Terengganu (JPKT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama penduduk setempat bergotong royong bagi memperingati tokoh terkemuka Terengganu, Tok Ku Pulau Manis atau nama sebenar, Syeikh Abdul Malek Abdullah.

Wakil penduduk Kampung Pulau Manis, Serada, Mohammad Che Embong, 59, berkata, gotong royong itu diadakan sempena dengan Haul Pulau Manis kali pertama yang akan berlangsung pada 19 hingga 20 April depan.

"Kesemua mereka menghulurkan sumbangan dari segi tenaga dengan terlibat bagi mengecat Masjid Pulau Manis.

"Sumbangan tenaga ini sememangnya diperlukan memandangkan ini adalah penganjuran kali pertama penduduk kampung sempena 'hari haul' iaitu hari menperingati tokoh ilmuan terkemuka bagi sejarah tamadun Terengganu iaitu Almarhum Syeikh Abdul Malek Abdullah atau juga dikenali sebagai Tok Ku Pulau Manis," katanya.

Anggota JPKT dan polis bantuan TNB bergotong royong membersihkan dan mengecat Masjid Pulau Manis, Kampung Serada, di sini.
Anggota JPKT dan polis bantuan TNB bergotong royong membersihkan dan mengecat Masjid Pulau Manis, Kampung Serada, di sini.

Katanya, beliau berharap kerjasama itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

"Kita harap, aktiviti begini akan diadakan lagi dimasa hadapan dengan harapan agar aktiviti ini dianggap sebagai fardu kifayah dan sebagai 'saham akhirat' bagi setiap mereka yang terlibat," katanya.

Kumpulan yang terlibat dalam aktiviti gotong royong itu turut menyumbangkan 20 helai sejadah untuk diwakafkan kepada Masjid Pulau Manis.