Kerajaan sasar RUU Anti Lompat Parti dibentang Julai ini

Ismail Sabri pada sidang akhbarnya selepas sesi taklimat khas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Sri Endon, di sini pada Ahad.
Ismail Sabri pada sidang akhbarnya selepas sesi taklimat khas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Sri Endon, di sini pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada jawatankuasa khas yang akan meneliti dan menggubal akta ini.

Menurutnya, jawatankuasa khas ini akan terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang dan ahli akademik yang pakar tentang perlembagaan.

“Bergantung kepada jawatankuasa khas nanti secepat mana mereka boleh mencadangkan untuk dibentangkan dalam Kabinet untuk persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat khas mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Sri Endon, di sini pada Ahad.

Selain daripada ahli Parlimen kerajaan, wakil pembangkang turut hadir dalam sesi taklimat khas ini.

Wakil pembangkang yang hadir adalah Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, selepas Kabinet bersetuju, RUU Anti Lompat Parti ini boleh dibentangkan segera.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ada niat bagi kerajaan untuk melewatkan-lewatkan atau tidak membentangkan Akta Anti Lompat Parti ini.

“(Ini disebabkan) ada pihak terkeliru yang cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak jujur dalam membentangkan Akta Anti Lompat Parti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berharap Artikel 10 Pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam mesyurat khas Dewan Rakyat pada Isnin akan diluluskan dengan lebih 148 undi daripada ahli Parlimen.

“Saya harap diluluskan dengan lebih 148 undi sebab untuk pindaan perlembagaan, memerlukan 2/3 majoriti menyokong.

“Setakat hari ini daripada kenyataan media yang kita baca daripada parti-parti kerajaan semuanya menyokong. Daripada pembangkang Pakatan Harapan (PH) telah membuat kenyataan berjanji sewaktu berjumpa dengan saya mereka juga akan menyokong.

“Jadi tidak timbul isu tentang pindaan ini tidak diluluskan. Saya harap apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” tegasnya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada Isnin bertujuan membolehkan RUU Anti Lompat Parti ke atas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).