RUU Anti Lompat Parti jangka dibentang Sidang DUN Pahang Mei ini

Mohd Sharkar (kanan) hadir pada sesi taklimat RUU Anti Lompat Parti bersaman ADUN DUN Pahang di Dewan UTC di sini pada Rabu.
Mohd Sharkar (kanan) hadir pada sesi taklimat RUU Anti Lompat Parti bersaman ADUN DUN Pahang di Dewan UTC di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dijangka akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang dijadualkan pada 8 Mei ini.

Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, secara keseluruhannya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari blok pembangkang tiada halangan untuk perkara itu dibentangkan.

Menurutnya, semua ADUN telah dijemput untuk sesi taklimat oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung perkara itu dan mereka berpuas hati.

"Bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diharmonikan supaya undang-undang yang kita buat ini dapat diperkemas.

"Secara keseluruhannya, hampir 95 peratus RUU ini sama seperti Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di peringkat parlimen sebelum ini.

"Tidak banyak perubahan cuma bezanya di Pahang ini kita ada ahli lantikan dalam DUN," jelasnya pada sidang akhbar selepas taklimat RUU Anti Lompat Parti di Dewan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di sini pada Rabu.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tuan Ibrahim (kanan) turut hadir pada sesi taklimat RUU Anti Lompat Parti bersaman ADUN DUN Pahang di Dewan UTC di sini pada Rabu.
Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tuan Ibrahim (kanan) turut hadir pada sesi taklimat RUU Anti Lompat Parti bersaman ADUN DUN Pahang di Dewan UTC di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pembangkang yang juga ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohd Sharkar berkata, bagi ahli yang dilantik itu, adakah mereka boleh dipecat jika tidak menyokong usul yang dibawa kerajaan dan terdapat cadangan agar mereka dimasukkan dalam pindaan itu sekaligus secara automatik tidak boleh bercanggah dengan parti yang melantik.

Beliau berkata, bagi membolehkan perkara itu dibentangkan pada Sidang DUN kali ini, RUU itu perlu dihantar ke Pejabat DUN sebelum 22 April ini.

"Memandangkan RUU itu akan dimasukkan dalam pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

"Kerajaan negeri sekarang tiada sokongan majoriti itu jadi kita jemput pembangkang untuk sama-sama memberi sokongan terhadap pindaan ini," jelasnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, ADUN dari Perikatan Nasional (PN) telah perhalusi taklimat yang diberikan berhubung RUU itu dan tidak banyak bezanya dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan Parlimen.

"Cuma perkara yang perlu diperhalusi adalah berhubung ahli lantikan dalam DUN Pahang kerana mereka juga ada kuasa mengundi sama seperti ADUN dipilih..

"Jadi ada keperluan pindaan ini diperhalusi sebab di sini terdapat implikasi undang-undang dan perlu lebih jelas supaya tidak membangkitkan isu pada masa alan datang," katanya.

Beliau berkata, sekiranya sempat perkara itu akan bincang dengan lebih teliti lagi.

"Sekiranya perlukan masa, kita tidak perlu tergesa-gesa dan boleh bawa RUU ini untuk dibentangkan pada sidang DUN seterusnya.

"Lebih baik ia perkemaskan dulu sebelum dibentang dan Insya-ALLAH kami akan sokong," jelasnya.