Bazar Ramadan: Melaka kuat kuasa peraturan bawa kanak-kanak

Datuk Zaidi Attan
Datuk Zaidi Attan
A
A
A

MELAKA - Melaka akan menguatkuasakan peraturan dan kaedah membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada minggu hadapan bertujuan menjaga keselamatan dan kesihatan golongan itu daripada dijangkiti Covid-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, ia selaras nasihat Kementerian Kesihatan bahawa kawasan sesak yang sempit dengan orang ramai adalah suasana tidak baik kepada kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi.

"Macam malam ini, saya dah tengok sendiri keadaannya dan akan pastikan semua tindakan sewajarnya diambil kira. Mungkin minggu depan akan dikuatkuasakan selepas saya tinjau semua tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Melaka Grand Ramadan Bazar Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil kesemua 62 penganjur untuk memastikan mereka faham, mematuhi dan melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) terutama mengenai penjarakan fizikal sepanjang melaksanakan bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, minggu pertama adalah untuk kita didik peniaga, penganjur dan pengunjung mengenai SOP apabila mengunjungi bazar.

"Kena selalu jaga SOP. Bimbang apabila suka hari ini, nanti di hujung jalan kita terpaksa tutup (bazar) kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kementerian (berkaitan). Jadi tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Zaidi berkata, pihaknya kini giat mengenal pasti lebih ramai usahawan muda di peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dibangunkan.

"Mungkin kita boleh memanggil asnaf di kampung-kampung yang berpotensi untuk diberi peluang kepada mereka berniaga sepanjang Ramadan. Atau boleh juga wujudkan satu pusat penjaja kekal seperti yang dibangunkan di Leypark Station kerana di situ ramai asnaf yang sudah berjaya dan kini mahu jadi penyumbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, kaedah yang lebih teliti akan dikenal pasti termasuk melihat kemampuan asnaf itu untuk menyewa tapak perniagaan.

Zaidi memberitahu, antara kaedah yang efektif adalah pihaknya mencari satu tanah atau ruang kerajaan yang boleh dibangunkan sebagai tapak perniagaan tanpa sewa.

"Kita akan minta agensi berkenaan untuk letakkan khemah sebagai permulaan bagi asnaf ini menjalankan perniagaan dengan kos operasi paling minimum kerana kita faham, harga sewa khemah yang paling rendah adalah RM2,500 dan berbeza mengikut lokasi," jelasnya. - Bernama