Pindaan Perlembagaan untuk pastikan segala aspek perundangan dipatuhi

Shamrahayu
Shamrahayu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Isnin ini bagi memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mencerminkan ketelitian kerajaan.

Beberapa pakar perlembagaan berpendapat langkah memberi keutamaan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti bukanlah bermaksud kerajaan bermain tarik tali.

Sebaliknya, langkah cermat dan berhemah yang diambil kerajaan menurut mereka adalah bertujuan bagi memastikan tidak berlaku percanggahan dalam segala aspek perundangan negara pada masa hadapan dan berada dalam keadaan teratur.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyentuh mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, tindakan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan adalah didorong oleh contoh kes yang berlaku di Kelantan pada 1992 apabila Mahkamah Agung memutuskan peruntukan Anti Lompat Parti dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan.

Beliau berkata, dalam kes itu, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) terbabit menyertai persatuan lain, jadi Mahkamah Agung menyatakan bahawa seorang ADUN boleh meninggalkan partinya untuk bertukar kepada parti lain kerana mereka mempunyai hak kebebasan berpersatuan.

"Kalau menerima pakai keputusan kes itu, maka apa juga undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan akan dikatakan tidak sah.

"Oleh itu, kalau (kerajaan) nak memperkenal Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang intipatinya akan menyebabkan seorang Ahli Parlimen hilang kerusinya (ini) bermaksud mereka tidak mempunyai kebebasan berpersatuan,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabru.

Artikel Berkaitan:

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara bagi bacaan kali kedua dan ketiga.

Senada dengan Shamrahayu, pakar undang-undang Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, pindaan dengan memasukkan pengecualian terhadap kebebasan berpersatuan adalah satu langkah yang perlu bagi mengelakkan timbulnya implikasi perundangan pada masa hadapan.

Beliau berkata, langkah tepat kerajaan itu bagaimanapun perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Cumanya usaha untuk menjalankan undang-undang antilompat parti ini telah berjalan agak lama dan kita amat berharap kerajaan mengambil langkah segera supaya setiap usaha ini dapat berjalan dengan cepat terutama sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Kita mengharapkan undang-undang ini dapat direalisasikan agar kestabilan politik negara lebih terjamin dan dapat mengelakkan amalan lompat parti yang menjejaskan mandat yang diberi oleh rakyat dan juga membuka ruang kepada rasuah melibatkan pemimpin politik,” katanya.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Intan Nadia Ghulam Khan, pula berkata langkah yang diambil oleh kerajaan adalah tepat demi kestabilan politik negara.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 10 Fasal 1(c) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara berhak membentuk persatuan manakala di bawah Perkara 10 Fasal 2(c), ia memperuntuk Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

"Saya berpandangan memang terdapat satu keperluan untuk dibuat pindaan Perlembagaan sebelum Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen agar ia tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita melihat kepada faktor keperluan untuk kestabilan dari sudut politik terutamanya.

"Kita memang harapkan adanya undang-undang antilompat parti ini kerana kita telah melihat ketidakstabilan itu berlaku disebabkan faktor ini. Saya rasa langkah kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk kesejahteraan negara daripada pelbagai aspek,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini.

Bagaimanapun, Wan Junaidi serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Khamis dalam satu kenyataan memaklumkan sidang khas itu diteruskan untuk membentang serta membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan pada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak. - Bernama