PAAB sedia adakan pertemuan jelaskan Skim Migrasi kepada Terengganu

Mohd Khairuddin (berdiri) bertanya khabar ibu tunggal yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Meraikan Ramadan Bersama Ibu Tunggal di Duyong Marina Resort, di sini pada Jumaat.
Mohd Khairuddin (berdiri) bertanya khabar ibu tunggal yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Meraikan Ramadan Bersama Ibu Tunggal di Duyong Marina Resort, di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung negara yang belum menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Sehubungan itu Pengerusi PAAB, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya bersedia mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Terengganu bagi menjelaskan konsep perjanjian tersebut yang sudah ditambah baik.

Menurutnya, perjumpaan tersebut penting supaya kerajaan negeri Terengganu mendapat penerangan dan maklumat jelas tentang skim migrasi berkenaan yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Saya ada bincang dengan Exco Kerajaan Negeri Terengganu untuk beri penjelasan agar mereka mendapat maklumat terkini tentang konsep perjanjian ini yang telah dikembangkan kerana mungkin berlaku salah faham konsep sebelum ini.

“Kita harap Terengganu boleh bersama PAAB dan kita tahu kekangan kewangan Terengganu untuk membina dua, tiga loji.

Kita akan sediakan dana, mereka boleh manfaatkan PAAB untuk membantu kerajaan negeri terutama melibatkan loji dan perpaipan.

“Penggantian paip lama memerlukan dana besar sehingga beratus juta dan kita mempunyai kemampuan kewangan yang belum digunakan sepenuhnya lagi.

Rugilah kalau tidak manfaatkan agensi kerajaan persekutuan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa Meraikan Ramadan Bersama Ibu Tunggal di Duyong Marina Resort, di sini pada Jumaat.

Pada majlis hasil kerjasama Bank Rakyat itu, seramai 270 ibu tunggal dari Parlimen Kuala Nerus diraikan dengan hidangan berbuka puasa selain sumbangan tunai sebagai persediaan menyambut Aidilfitri melibatkan peruntukkan berjumlah RM54,000.

Selepas meraikan golongan ibu tunggal di Terengganu, PAAB akan meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada bulan Ramadan dengan memberi sumbangan sama kepada lebih 200 anak yatim di Kuala Lumpur pada 21 April nanti.

PAAB merupakan sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan pada 5 Mei 2006 dengan objektif untuk menjadi syarikat induk bagi aset air negara.

PAAB merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula industri perkhidmatan air di negara ini untuk mencapai kecekapan dan kualiti yang lebih baik, serta memastikan kemampanan industri.