Bukti DNA bantu tangkap suspek kes rogol 12 tahun lalu

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menemui pemilik asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui di lokasi kejadian rogol yang berlaku di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Pulau Pinang, 12 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kejayaan tersebut hasil data ujian DNA yang membawa kepada penahanan suspek terlibat.

"Siasatan saintifik menggunakan DNA tersebut telah berjaya mengenal pasti identiti suspek sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan suspek.

"Suspek merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditahan di ladang ternakan kambing di Balik Pulau, Pulau Pinang kira-kira jam 3.30 petang pada Khamis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari bermula 8 April hingga 13 April ini.

"Penahanan suspek bertujuan membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Pada masa sama, PDRM tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehinggalah berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat ke muka pengadilan.

"PDRM juga sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes terbabit berlaku pada 12 tahun lalu ketika remaja perempuan berkenaan berusia 15 tahun di sebuah bengkel sekitar Balik Pulau.