KPM tunggu laporan insiden pergaduhan di sekolah

Peserta program Samsul Hashim (dua dari kiri) dari Sekolah Kebangsaan Kampung Senta menunjukkan watikah masing-masing pada majlis Penyampaian Watikah dan Pelancaran Logo Program Accelerated School Leaders Invitiative (ASLI) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, di Ipoh hari ini.
Peserta program Samsul Hashim (dua dari kiri) dari Sekolah Kebangsaan Kampung Senta menunjukkan watikah masing-masing pada majlis Penyampaian Watikah dan Pelancaran Logo Program Accelerated School Leaders Invitiative (ASLI) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, di Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menunggu laporan terperinci mengenai pergaduhan membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Sepang, Selangor yang videonya tular di media sosial, sejak semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia bagi membolehkan pihaknya membuat penelitian terlebih dahulu sebelum mengenakan tindakan sewajarnya.

"Kami belum terima laporan terperinci dan siasatan lanjut perlu dibuat untuk mendapatkan maklumat lengkap sebelum tindakan diambil,” katanya selepas melancarkan program Accelerated School Leaders Initiative (ASLI) di sini hari ini.

Dilaporkan, insiden pergaduhan itu dikesan berlaku 10.30 pagi membabitkan dua kumpulan pelajar sekolah berkenaan dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek.

Hang Soon berharap unsur dan elemen keharmonian lebih giat dipromosikan bagi membina jati murid selain mengelakkan berulangnya kes buli serta gaduh di mana-mana sekolah.

Sementara itu, ditanya mengenai tular isu kantin tidak dibuka sepanjang bulan Ramadan bagi melatih murid-murid berpuasa dan menghormati orang yang berpuasa, Hang Soon berkata, beliau telah menghubungi Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid bagi tindakan lanjut.

"Bagi saya kita menghormati murid yang menunaikan ibadah puasa dalam masa sama tidak menghalang murid beragama lain untuk membeli dan mendapatkan makanan di kantin.

"Ketika ditanya kepada ibu bapa murid bukan Islam, tidak ramai pun murid bukan beragama Islam dan mereka bersetuju untuk bawa bekalan makanan dari rumah namun selepas mendapat laporan daripada pihak lain, maka pihak sekolah tidak menghalang kantin untuk beroperasi di bulan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, tular di media sosial berkaitan sebuah mesej di aplikasi WhatsApp yang diterima apabila

sebuah sekolah menjelaskan kantin tidak dibuka sepanjang bulan Ramadan disalah tafsir sehingga mengundang spekulasi selain disifatkan sebagai rasis. - Bernama