Polis tahan beberapa pelajar bergaduh depan sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan beberapa pelajar yang disyaki bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan di hadapan sebuah sekolah menengah sekitar kawasan Kempas di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh, kesemua pelajar Tingkatan Tiga itu dipercayai bergaduh akibat berlaku perselisihan faham.

“Polis Daerah Johor Bahru Utara telah menerima laporan bersabit kes beberapa pelajar sekolah bergaduh hingga mendatangkan kecederaan sekitar jam 3.43 petang Rabu.

“Siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang pelajar yang telah dibaling dengan pemadam oleh rakan sekelasnya dua hari sebelum itu.

“Akibat kejadian tersebut, ada beberapa pelajar sekolah telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami luka di kepala serta lebam pada kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan kejadian itu, pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) telah melakukan beberapa tangkapan dalam kalangan pelajar terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali hukuman itu, jika sabit kesalahan.