Tengkorak, cebisan tulang dipercayai milik kanak-kanak ditemui

Kelihatan anggota Forensik berada di lokasi melakukan siasatan. (Gambar kecil: Nanda)
Kelihatan anggota Forensik berada di lokasi melakukan siasatan. (Gambar kecil: Nanda)
A
A
A

SEREMBAN - Tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tulang berkenaan ditemui jam 11 pagi selepas suspek lelaki utama kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit.

"Kita percaya tengkorak dan tulang geraham dan rangka ditemui ini adalah tulang kepada seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang dilaporkan hilang pada 28 Mac lalu.

"Namun ia masih dalam siasatan lanjut forensik dan patalogi untuk mengesahkan sama ada tulang ditemui milik manusia atau haiwan," katanya ketika ditemui lokasi pada Khamis.

Kelihatan anggota Forensik membawa keluar cebisan tulang ditemui.
Kelihatan anggota Forensik membawa keluar cebisan tulang ditemui.

Menurutnya, tulang berkenaan dijumpai dalam keadaan bertaburan dan telah ditutup dengan daun-daun kering dan pokok kecil kira-kira 10 meter dari lokasi asal mangsa dikatakan ditanam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa kemungkinan telah ditanam di situ antara dua ke tiga bulan.

Bagaimanapun, tiada barang lain ditemui berhampiran lokasi terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Polis percaya kes bunuh seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama dan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan telah hampir selesai.

"Sejak penemuan mayat wanita berkenaan polis tidak pernah berhenti melakukan pencarian dan mendesak suspek untuk beritahu di mana kedudukan sebenar mangsa yang hilang," katanya.

Nanda berkata, mayat wanita berusia 29 tahun yang ditemui sebelum ini bagaimanapun tiada kaitan dengan kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu.

Katanya, bagaimanapun difahamkan suspek dan saksi perempuan serta mangsa pernah tinggal bersama.

"Namun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama Seremban-Kuala Pilah di sini.

Pada 23 Mac dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita terbabit.

Tempoh reman kesemua mereka yang mempunyai talian persaudaraan kemudian telah dilanjutkan sehingga 11 April.

Kelihatan suspek dibawa keluar dari lokasi.
Kelihatan suspek dibawa keluar dari lokasi.