Mayat wanita dalam gaung: Tempoh reman tiga individu disambung

Laporan Sinar Harian berkenaan tiga suspek direman bantu siasatan kes jumpa mayat wanita tanpa identiti dalam gaung. (Gambar kecil) Nanda.
Laporan Sinar Harian berkenaan tiga suspek direman bantu siasatan kes jumpa mayat wanita tanpa identiti dalam gaung. (Gambar kecil) Nanda.
A
A
A

SEREMBAN - Tempoh reman tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini pada 20 Mac lalu disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, perintah reman ke atas dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 11 April.

"Permohonan sambung tahanan reman ketiga-tiga suspek diluluskan selama tujuh hari.

"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan iaitu bunuh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Nanda berkata, kesemua individu terbabit yang direman sebelum ini sepatutnya dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka ditahan semula bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Sebelum ini, ketiga-tiga suspek yang mempunyai talian persaudaraan direman enam hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh bermula 30 Mac hingga 4 April lalu.

Pada 20 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini.

Artikel Berkaitan: