PH gesa dedah butiran penjualan tanah lapangan terbang kepada awam

Kenyataan Majlis Pimpinan PH Perak berhubung kontroversial penjualan tanah kapal terbang di Seri Iskandar. Gambar kecil: Mujahid
Kenyataan Majlis Pimpinan PH Perak berhubung kontroversial penjualan tanah kapal terbang di Seri Iskandar. Gambar kecil: Mujahid
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak menggesa kerajaan negeri mendedahkan kepada awam butiran penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.

Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pendedahan itu penting kerana tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berkenaan bertujuan untuk pembangunan infrastruktur rakyat.

Menurutnya, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga pengerusi PKNP perlu bertanggungjawab menjelaskan ketelusan transaksi penjualan tanah tersebut.

"Majlis Pimpinan PH Negeri Perak menggesa Saarani mendedahkan kepada orang ramai bila penjualan tersebut berlaku dan kepada siapa serta berapa ekar bahagian yang telah dijualkan.

"Beliau perlu menjelaskan kepada rakyat tanah itu diperuntukkan untuk projek lapangan terbang baru dan zaman mana tanah itu diambil oleh PKNP, kenapa diambil keputusan untuk menjualnya dan zaman pemerintahan siapa disempurnakan jualan tersebut.

"Selain itu, minit mesyuarat keputusan hasrat menjual dan tarikh disempurnakan transaksi perlu didedahkan termasuk perjanjian jual-beli, syarat-syarat, nilai penjualan serta pihak konsultan yang dilantik untuk rundingan jualan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mujahid berkata, pihaknya menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan pantas memulakan siasatan bebas dan berkecuali terhadap aduan yang telah dibuat oleh PH.

"Kami prihatin kepada tuduhan kononnya tanah tersebut dijual semasa kerajaan PH memerintah pada tahun 2018-2020 semasa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi Menteri Besar.

Artikel Berkaitan:

"Di atas sikap telus dan amanah yang diamalkan oleh PH Perak, kami menuntut penjelasan yang objektif dan tidak dipolitikkan kontroversi ini," katanya.

Pada Selasa, ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi bersama tiga lagi bekas Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing hadir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad turut memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan penjualan tanah lapangan terbang itu susulan laporan yang dibuat Asmuni.