Kelantan akan haramkan vape bagi remaja, kanak-kanak

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berhasrat mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja dan kanak-kanak yang berusia 17 tahun ke bawah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perkara itu akan dibentang dalam Parlimen akan datang menerusi satu kertas kerja bagi melarang individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2005 dan ke bawah daripada menghisap vape.

Katanya, pendidikan awal penting dalam merubah tanggapan kesan bahaya nikotin di dalam vape yang kononnya kurang berbahaya daripada rokok.

“Tanggapan sebegini perlu diperbetulkan dan ibu bapa perlu sedar bahawa penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak bermula daripada usia seawal 10 tahun kini pada tahap membimbangkan.

“Mereka memang tidak boleh menghisap vape di sekolah kerana satu kesalahan, tetapi ada yang sudah menggunakan bahan berbahaya itu pada peringkat sekolah rendah malahan lebih teruk penggunaannya dalam kalangan remaja di peringkat sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, perkara berkaitan pengharaman penggunaan vape dalam kalangan remaja dan kanak-kanak itu turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Hadi sama mempengerusikan mesyuarat itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, kandungan nikotin di dalam vape terbukti lebih bahaya daripada rokok namun penggunaan vape berterusan meningkat sehingga melangkaui jantina.

“Sekarang perempuan pun hisap vape, di Kelantan tidak ketara tetapi tetap ada manakala di negeri sebelah barat lebih ramai.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini membimbangkan kerana kos perubatan untuk penyakit yang berpunca daripada rokok dan vape ini sangat tinggi mencecah RM6 juta setahun termasuk rawatan akibat kanser, barah paru-paru dan penyakit jantung,” katanya.

Beliau mengingatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak dan melarang daripada menggunakan vape yang boleh menyebabkan banyak kesan buruk kepada kesihatan.

“Kerajaan akan usahakan agar satu bentuk undang-undang diwujudkan bagi mencegah perkara ini dan mengadakan taklimat bagi melarang penggunaan tembakau dalam remaja dan kanak-kanak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan penjagaan kendiri dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada fasa endemik.

“Kita sudah tidak ada SOP penjarakan fizikal namun bagi menggelakkan penularan jangkitan, perlu penjarakan.

“Jadi, mereka yang bergejala demam, batuk atau sakit tekak dinasihatkan untuk tidak pergi tempat ramai seperti bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa,” katanya.