Kelantan rekod 39 mangsa mercun, majoritinya kanak-kanak

Dr Zaini
Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan merekodkan seramai 39 orang menjadi mangsa mercun bermula 25 Mac lalu hingga Rabu.

Daripada jumlah tersebut, kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 10 tahun menjadi mangsa tertinggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua mangsa mercun itu mengalami kecederaan seperti melecur di muka, mata dan patah jari tangan.

"Mereka menerima rawatan di sembilan hospital di negeri ini di mana Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) merekodkan kes tertinggi iaitu 10 mangsa.

"Diikuti oleh Hospital Tanah Merah (9), Gua Musang (4), Tengku Anis, Pasir Puteh (4) dan Sultan Ismail Petra, Kuala Krai (4)," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, tiga kes dirawat di Hospital Jeli manakala Tumpat (2), Machang (2) dan Pasir Mas (1).

Ujarnya, dua mangsa telah dirujuk kepada pakar perubatan kerana mengalami kecederaan yang serius.

Dr Zaini memberitahu, manakala sebanyak 23 kes dimasukkan ke dalam wad untuk mendapatkan rawatan lanjut serta pemantauan rapi daripada doktor dan petugas kesihatan.

Tambah beliau, selebihnya 14 kes hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Pihak kami memandang serius terhadap peningkatan insiden kecederaan akibat bermain mercun di negeri ini.

"Orang ramai terutama ibu bapa diharap dapat mengawasi anak-anak supaya tidak bermain mercun," katanya.