PAC diminta siasat penjualan tanah lapangan terbang

Kar Hing (kiri) bersama Ahli PAC Perak, Chong Zhemin menunjukkan surat permohonan memanggil mesyuarat PAC yang diserahkan kepada Mohd Tarmizi.
Kar Hing (kiri) bersama Ahli PAC Perak, Chong Zhemin menunjukkan surat permohonan memanggil mesyuarat PAC yang diserahkan kepada Mohd Tarmizi.
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perak diminta menjalankan siasatan penuh terhadap penjualan tanah seluas 188.13 hektar yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, siasatan itu bagi mendapatkan laporan terperinci berkaitan proses penjualan untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Menurutnya, dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah PAC, semua pihak terlibat dan berkepentingan termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu boleh dipanggil bagi tujuan siasatan.

"Memandangkan isu ini telah mengundang kenyataan berbeza daripada pelbagai pihak, maka kita memerlukan penjelasan yang lebih teliti.

"Bukan setakat mengenal pasti pemerintahan siapa yang menjual tanah tersebut, tetapi proses kelulusan penjualan, keluasan dan lokasi tanah, harga jualan dan proses pembayaran yang perlu disiasat dan dikenal pasti sama ada wujud salah laku," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli PAC Perak berkata, satu surat rasmi permohonan mesyuarat jawatankuasa bagi membincangkan dan membuka prosiding ke atas isu itu telah dihantar kepada Pengerusi PAC negeri, Datuk Mohd Tarmizi Idris pada Selasa.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab jawatankuasa untuk memainkan peranan penting sebagai badan semak dan imbang, meneliti dan memeriksa perkara-perkara berkaitan dengan peruntukan wang, perbelanjaan negeri dan kira-kira pihak berkuasa awam sekiranya melibatkan kepentingan awam.

"Mesyuarat jawatankuasa hanya pernah bersidang satu kali sahaja selepas penubuhannya iaitu pada 25 Ogos tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kami berharap Pengerusi PAC dapat memanggil mesyuarat jawatankuasa dengan kadar segera," katanya.

Sementara itu, Mohd Tarmizi ketika dihubungi pemberita mengesahkan menerima surat permohonan itu dan akan memanggil mesyuarat dalam waktu terdekat.

“Saya sudah memberitahu beliau bahawa mesyuarat akan dipanggil dan sepatutnya tidak perlu mengadakan sidang akhbar mengenainya," katanya.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pada sesi penggulungan Dewan Negeri pada 30 Mac lalu mendedahkan, cadangan membina Lapangan Terbang Seri Iskandar di daerah Perak Tengah telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada 28 Februari 2018 melibatkan tujuh tansh milik seluas 478 hektar.

Bagaimanapun jelasnya, seluas hampir 188.13 hektar yang merupakan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telahpun dijual kepada pihak ketiga.

Perkara itu kemudiannya mendapat pengesahan daripada Menteri Besar sendiri bahawa tanah bagi pembinaan lapangan terbang baharu terbabit telah dijual semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).