Bau busuk bawa penemuan mayat wanita

Mayat seorang wanita ditemukan dalam longkang dekat Taman Perpaduan, Bakar Arang pada Sabtu.
Mayat seorang wanita ditemukan dalam longkang dekat Taman Perpaduan, Bakar Arang pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Bau busuk yang menjadi tanda tanya penduduk Taman Perpaduan, Bakar Arang di sini akhirnya terjawab selepas mayat seorang wanita ditemukan dalam longkang, pada Sabtu.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Heng, 40-an, berkata, pada mulanya dia menyangka tandas rumahnya berbau busuk sehingga terpaksa berkali-kali membersihkan kawasan tersebut.

Bagaimanapun, bau busuk tersebut tidak hilang menyebabkannya membuat pemeriksaan di sekeliling kawasan rumah sebelum menemui mayat wanita yang ditutup menggunakan serpihan atap dalam longkang.

Terkejut dengan penemuan itu, dia terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan kira-kira jam 5.47 petang oleh orang awam.

“Sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan pemerhatian awal mendapati mayat wanita terbabit memakai baju kelawar,"katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan siasatan di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sebelum mendapat keputusan hasil bedah siasat.