Batal festival 'shopping' raya: Pengarah syarikat antara tiga individu ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat antara tiga individu ditahan bagi siasatan lanjut berkaitan festival beli belah sempena Syawal di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, laporan berkaitan penganjuran festival telah diterima pada Rabu.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan tersebut bagi siasatan selanjutnya dijalankan.

"Susulan siasatan dijalankan, tiga individu terdiri daripada pengarah syarikat serta penganjur festival antaranya seorang lelaki berumur 23 tahun dan dua wanita tempatan berumur 50 dan 51 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, kesemua individu ditahan direman dua hari bagi siasatan selanjutnya.

"Semakan mendapati kesemua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Setakat kini sebanyak enam laporan polis telah diterima berkaitan kes yang disiasat ini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis menyeru orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang urusniaga bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa jenayah atau penipuan.

"Mana-mana pihak atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkara ini atau sebarang maklumat kegiatan yang menyalahi undang-undang diminta menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Sebelum ini, satu festival membeli-belah sempena sambutan Syawal yang di jadual sehingga 21 April depan terpaksa dibatalkan di saat akhir.

Perkara itu dimaklumkan oleh beberapa vendor yang telah membuat tempahan reruai pada program yang sepatutnya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mereka memaklumkan, pihak penganjur didakwa membatalkan pesta 72 jam tanpa henti itu sekitar jam 3 petang.

Antara ratusan vendor yang terlibat adalah dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terdiri daripada peniaga pakaian, makanan, kuih raya dan kelengkapan raya.

Malah, ada dalam kalangan vendor yang mendakwa mereka kerugian mencecah puluhan ribu ringgit lantaran terpaksa menanggung kos logistik, pemasangan reruai serta modal jualan bagi menyertai pesta tersebut.