Geng pecah rumah tumpas, polis selesai 14 kes

Rahimi (empat dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang disedang diburu polis.
Rahimi (empat dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang disedang diburu polis.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki yang mempunyai 45 rekod jenayah dan dadah dicekup di rumah sewanya di Selangor kerana terlibat dalam kes pecah rumah di beberapa buah negeri sejak awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada malam 30 Mac lalu bersama seorang lagi ahli kumpulannya.

Menurutnya, penahanan lelaki yang juga ketua kumpulan itu dibuat selepas polis menahan empat lelaki di Kulim, Kedah di sebuah rumah sewa yang dijadikan port pada malam 25 Mac lalu.

Beliau berkata, salah seorang suspek merupakan individu dikehendaki di Selangor kerana kesalahan dadah antara tahun 2014 hingga 2017.

"Kita menerima laporan daripada seorang ejen pelaburan berusia 61 tahun pada jam 2 petang, 26 Februari lalu yang mengatakan rumahnya di Air Itam telah dipecah masuk.

"Mangsa mengatakan dia mengalami kerugian sehingga RM50,000 dalam kejadian berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Ujarnya, jumlah keseluruhan individu yang ditahan dalam Op Pintu Mutiara ini adalah enam orang membabitkan dua di Selangor dan empat di Kedah.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 34 hingga 47 tahun dan kumpulan ini dipercayai aktif sejak awal tahun lalu. Rata-rata mereka berasal daripada Selangor; Johor; Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Penubuhan kumpulan ini bermula di penjara yang mana ahli kumpulan ini berkenalan di situ yang sebelum ini pernah dipenjarakan di atas kesalahan lain. Bagaimanapun, selepas keluar penjara, mereka menubuhkan kumpulan ini dan aktif dalam jenayah pecah rumah," katanya.

Antara barangan dipercayai barang curi yang dirampas daripada kesemua suspek.
Antara barangan dipercayai barang curi yang dirampas daripada kesemua suspek.

Mengulas lanjut, Rahimi berkata, dengan penahanan enam suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 14 kes pecah rumah dengan lapan daripadanya berlaku di Pulau Pinang.

"Lapan kes di sini melibatkan kerugian sehingga RM200,000 manakala kes lain adalah di Kedah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur. Kesemua kes ini dilakukan sejak awal tahun ini dan mereka ini bukan sahaja aktif di sini malah di beberapa negeri lain juga.

"Mereka juga mahir dalam melakukan kegiatan ini dengan membuat perancangan teliti dan mensasarkan rumah di kawasan bandar, mangsa berseorangan serta warga emas. Bagaimanapun, kumpulan ini tidak pernah mencederakan mangsa mereka," katanya.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, kesemua suspek mempunyai pekerjaan antaranya mekanik; kontraktor rumah, mengecat kereta dan menjual pakaian secara dalam talian.

"Kita sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai mempunyai peranan penting dalam kumpulan ini. Salah seorang daripada mereka bernama Lo Bin Son atau nama gelarannya Vincent berusia 39 tahun.

"Kita juga menyiasat kerana kemungkinan ada kes lain yang melibatkan kumpulan ini. Empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala kesemua mereka mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah," katanya.

Tambahnya, polis merampas dua buah kereta; 12 telefon bimbit; 11 utas jam tangan; sebuah kamera, 45 keping wang tunai, 30 keping wang tunai mata wang asing pelbagai negara dan pelbagai peralatan pecah rumah.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok (Selasa) dan kes disiasat mengikut 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

"Ia memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan denda dan sebat jika sabit kesalahan," katanya.