Bekalan keperluan asas di Pulau Pinang mencukupi: KPDNHEP

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang sedang memeriksa bekalan makanan keperluan ketika menjalankan Ops Pantau 2022 pada Ahad.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang sedang memeriksa bekalan makanan keperluan ketika menjalankan Ops Pantau 2022 pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekalan keperluan asas sepanjang bulan Ramadan di Pulau Pinang didapati mencukupi setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, perkara itu didapati ketika pihaknya menjalankan Ops Pantau 2022 di seluruh Pulau Pinang pada Ahad.

Menurutnya, selain itu, operasi berkenaan juga dijalankan bagi memastikan premis yang beroperasi mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

"Sebanyak 109 premis telah diperiksa pada hari pertama operasi dan mendapati premis-premis yang beroperasi adalah mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan. Operasi yang dijalankan untuk memastikan keberadaan bekalan barang yang menjadi keperluan pengguna semasa bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

"Kita juga membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas penandaan harga atau harga sama ada dipatuhi mengikut warta kerajaan atau tidak. Ia bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan melibatkan premis yang beroperasi di bazar Ramadan; bazar hari raya; pasar awam; pasar basah; pasar pagi, pasaraya, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

"Pemeriksaan dijalankan bagi pematuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"KPDNHEP mengingatkan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorok barang kawalan semasa bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri akan dikenakan tindakan tegas dan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti perniagaan yang tidak beretika amat dialu-alukan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: